Suasana konsert malam tadi.  FOTO  Syafiq Ambak
Suasana konsert malam tadi. FOTO Syafiq Ambak
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Lebih 2,000 peminat memeriahkan Konsert Patriot Akim & The Majistret di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini, malam tadi.

Walaupun konsert hanya bermula jam 8.45 malam, penonton mula memenuhi pekarangan stadium seawal jam 8 malam bagi menyaksikan konsert anjuran Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad (Yeo’s) dengan kerjasama Harian Metro itu bersempena Hari Kemerdekaan negara ke-58.

Konsert dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Tanggal 31 secara beramai-ramai oleh Akim & The Majistret serta artis jemputan, Kit Teo dan Alinda.

Konsert kemudian diteruskan dengan nyanyian tiga lagu oleh Kit Teo.

Kehangatan konsert diteruskan dengan Alinda yang menghiburkan penonton dengan beberapa lagu Tamil dan lagu medley dari filem popular Hindustan.

Walaupun hujan seketika, ia tidak menghalang penonton untuk terus setia menanti kehadiran Akim & The Majistret.

Selepas hampir satu jam, kehadiran band terbabit di atas pentas mendapat tepukan gemuruh peminat.

Selain nyanyian, cabutan bertuah dengan hadiah utama televisyen 50 inci dan telefon pintar jenama Samsung turut diadakan

Konsert berkenaan diserikan lagi dengan kehadiran DJ Fuzz dan Aaron Pereira selaku pengacara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 1:02 AM