PENDUDUK Kedah mengibarkan Jalur Gemilang di Konsert Patriot Akim & The Majistret Yeo's I Love Malaysia di perkarangan Stadium Sultan Abdul Hamid, Jalan Suka Menanti. FOTO Amran Hamid
PENDUDUK Kedah mengibarkan Jalur Gemilang di Konsert Patriot Akim & The Majistret Yeo's I Love Malaysia di perkarangan Stadium Sultan Abdul Hamid, Jalan Suka Menanti. FOTO Amran Hamid
Oleh Norul Awatif Romli

SIRI jelajah kelima yang juga terakhir bagi Konsert Patriot Akim & The Majistret Yeo's I Love Malaysia berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Abdul Hamid, di sini, malam tadi.

Hampir 4,000 penduduk warga bandar raya Alor Setar hadir menyaksikan persembahan.

Konsert dimulakan pada 8.45 malam dengan nyanyian lagu Negaraku dan Tanggal 31 secara beramai-ramai oleh Akim & The Majistret bersama barisan penyanyi jemputan lain.

Siri jelajah konsert itu anjuran Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad (Yeo's) dengan kerjasama Harian Metro sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-58 turut dimeriahkan dengan penyanyi jemputan lain seperti Alinda Alphonse dan Precious.

Dalam konsert itu, Akim bersama ahli kumpulannya menyanyikan tujuh buah lagu popular mereka.

Antaranya Patriot, Terlalu Mudah, Sisaku, Quicksand, Obses, Potret dan diakhiri Mewangi yang mendapat sorakan gemuruh daripada penonton.

Persembahan dimeriahkan lagi dengan gandingan spontan Akim & The Majistret bersama kumpulan Precious menyanyikan sebuah lagu berjudul Hai Kuo Tian Kong iaitu lagu nyanyian kumpulan Beyond, artis dari Hong Kong dipertengahan persembahan.

Lagu penutup menyaksikan semua penyanyi sekali lagi bergabung menyampaikan lagu patriotik berjudul Tanggal 31.

Sementara itu, penonton yang hadir turut berpeluang memenangi televisyen 50 inci, telefon pintar dan tablet menerusi cabutan bertuah yang diadakan pada malam ini.

Bagi menyertai cabutan bertuah itu, penonton dikehendaki membeli barangan Yeo's di lokasi konsert dengan harga RM5 ke atas.

Selain itu, penonton bertuah berpeluang membawa pulang album terbaru Akim & The Majistret berjudul Patriot.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 11:55 PM