ANTARA peminat yang hadir dalam Konsert Patriot Akim & The Majistret Yeo’s I Love Malaysia.
ANTARA peminat yang hadir dalam Konsert Patriot Akim & The Majistret Yeo’s I Love Malaysia.
AKIM & The Majistret membuat persembahan ketika Konsert Patriot Akim & The Majistret Yeo’s I Love Malaysia.
AKIM & The Majistret membuat persembahan ketika Konsert Patriot Akim & The Majistret Yeo’s I Love Malaysia.
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Teruja dan terharu. Itu yang mampu diungkapkan kumpulan Akim & The Majistret apabila melihat lebih 2,000 peminat di Terengganu setia menanti mereka dalam hujan lebat ketika berlangsungnya Konsert Patriot Akim & The Majistret Yeo’s I Love Malaysia, malam kelmarin.

Konsert di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus adalah lokasi ketiga siri jelajah Konsert Patriot Akim & The Majistret Yeo’s I Love Malaysia anjuran Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad (Yeo’s) dengan kerjasama Harian Metro sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-58.

Konsert dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Tanggal 31 secara beramai-ramai oleh Akim & The Majistret bersama Kit Teo, Alinda dan dua pengacara, DJ Fuzz serta Aaron Pereira.

Kit Teo mula mengambil tempat di pentas dengan menyanyikan dua lagu Mandarin serta medley lagu Mungkin Nanti nyanyian kumpulan Peter Pan dan Thinking Out Loud.

Kehangatan konsert diteruskan dengan persembahan penyanyi, Alinda yang menghiburkan penonton dengan lagu Tamil iaitu Soi Soi dan lagu medley Tamil.

Percaturan Alinda menyanyikan lagu medley terkenal daripada filem Hindustan seperti Tujhe Dekha Tho Janan Sanam, Leja Leja, Dil To Pagal Hai dan Kuch Kuch Hota Hai mula menghangatkan suasana pada malam itu.

Namun, hujan lebat sedikit mengganggu perjalanan konsert, tetapi ia tidak menghalang penonton untuk terus setia menanti kehadiran Akim & The Majistret.

Selepas menunggu hampir sejam, band itu yang terharu dengan sokongan diberikan peminat Terengganu yang tidak berganjak walaupun hujan lebat membuatkan Akim & The Majistret menyanyikan 13 lagu termasuk lagu daripada album sulung berjudul Patriot sebagai ‘hadiah’ bagi menghargai sokongan diberikan.

Ternyata, telatah band yang dianggotai tujuh jejaka iaitu Akim, Zimi dan Fairuz daripada Sofazr, Wan dan Gjie (Sixth Sense), Freddy (Hyperact) dan Afiez (Kristal dan New Boyz) yang ‘sporting’ dan bersahaja melayan peminat apabila menyanyikan lagu yang diminta menjadikan konsert semakin hangat walaupun hujan.

Band itu memulakan persembahan dengan lagu Patriot diikuti Terlalu Mudah selain menyanyikan lagu medley lagu terkenal daripada kumpulan yang disertai anggota band Akim & The Majistret seperti Hyper Act, Sofaz, Sixth Sense dan New Boyz.

Malah, Akim yang menyanyikan lagu I Not For Sale nyanyian buah hatinya, Stacy mendapat tepukan gemuruh daripada peminat.

Selain itu, konsert berkenaan diserikan dengan kehadiran kanak-kanak kurang upaya (OKU), Nur Damia Irsalina Darmalis, 8, yang meminati Akim sebelum penyanyi itu meluangkan masa selama lima minit dan menyanyikan lagu Mewangi bersama kanak-kanak istimewa itu.

Tidak ketinggalan, Akim & The Majistret turut menyanyikan lagu tema kempen Yeo’s Jinggle Song sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu Potret dan Mewangi.

Menurut Akim, dalam konsert sebelum ini mereka hanya menyanyikan lima lagu, tetapi di Terengganu, sebanyak 13 lagu dipersembahkan sebagai menghargai sokongan diberikan.

“Walaupun hujan lebat, tetapi mereka tetap setia dan ini membuatkan kami bertekad untuk memberi persembahan terbaik,” katanya.

Perkara sama turut diakui Zimi yang memaklukan mereka akan membuat perbezaan di setiap konsert jelajah yang akan diadakan kelak. Katanya, ia bergantung kepada keadaan cuaca dan penonton yang hadir sambil menyifatkan sokongan peminat negeri ini sangat luar biasa.

Persembahan malam itu diakhiri dengan nyanyian Tanggal 31 sebelum Akim & The Majistret membuat cabutan bertuah yang melayakkan penonton bernasib baik membawa pulang hadiah utama televisyen 50 inci dan telefon pintar jenama Samsung.

Sebelum mengakhiri konsert itu, ahli band meluangkan masa hampir 15 minit untuk bertemu peminat yang membeli album mereka.

Tidak ketinggalan, Akim turut beramah mesra dengan penonton dan mengajak peminat ke lokasi konsert berikutnya iaitu Dataran Daesoka, Gaya Street, Kota Kinabalu pada 12 September ini, Padang Merdeka, Kuching (15 September) dan Pekarangan Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Star, Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 10:33 AM