ANTARA pengunjung yang hadir di Padang Merdeka, semalam.
ANTARA pengunjung yang hadir di Padang Merdeka, semalam.

Kuching: Konsert Patriot Akim & The Majistret Yeo’s I Love Malaysia, di Padang Merdeka, di sini, malam tadi, berlangsung dengan penuh meriah apabila menerima sambutan luar biasa daripada warga bandar raya ini.

Keadaan berjerebu yang melanda Kuching tidak menghalang lebih 5,000 penonton memenuhi Padang Merdeka seawal jam 7 malam.

Konsert dimulakan pada jam 8.15 dengan nyanyian lagu Negaraku dan Tanggal 31 secara beramai-ramai oleh Akim & The Majistret bersama barisan penyanyi jemputan lain.

Siri jelajah konsert itu anjuran Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad (Yeo’s) dengan kerjasama Harian Metro sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-58 turut dimeriahkan dengan kumpulan berasal dari Bumi Kenyalang iaitu The Family Man sebagai artis jemputan.

Ia turut disertai penyanyi jemputan lain seperti Alinda Alphonse dan Precious.

Dalam konsert itu, Akim bersama ahli kumpulannya menyanyikan lagu popular mereka Terlalu Mudah, Obses, Potret dan diakhiri dengan hit lagu Mewangi yang mendapat sorakan gemuruh daripada penonton.

Sementara itu, penonton di Kuching berpeluang memenangi televisyen 50 inci, telefon pintar dan tablet menerusi cabutan bertuah yang diadakan pada malam berkenaan.

Bagi menyertai cabutan bertuah itu, penonton dikehendaki membeli barangan Yeo’s di lokasi konsert dengan harga RM5 ke atas.

Selain itu, penonton bertuah berpeluang memenangi album terbaru Akim & The Majistret berjudul Patriot.

Mereka boleh menebus enam pek Yeo’s Yeogurt TB2 50 mililiter dengan menukarkan dua kepala akhbar Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 9:56 AM