Oleh Aziman Rosdi

Petaling Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia akan dipinda ke 19 Disember daripada tarikh asal 12 Disember seandainya Johor Darul Ta’zim (Johor DT) mara ke final Piala AFC pada 31 Oktober ini.

Johor DT akan membuat perhitungan dengan kelab dari Kuwait, Qadsia SC bagi separuh akhir kedua pada 20 Oktober ini di Larkin dan jika skuad Harimau Selatan boleh mengatasi defisit 1-3 pada perlawanan pertama, mereka bakal menjadi wakil pertama negara beraksi di pentas final.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, mereka membuat penilaian mengenai kedudukan Johor DT serta penangguhan beberapa perlawanan Piala Malaysia akibat jerebu dalam menentukan tarikh baru itu.

“Sebenarnya tarikh baru itu sudah ada dalam perancangan kami dengan mengambil kira penyertaan Johor DT dalam saingan Piala AFC cuma kami tidak umumkan sebelum ini jadi pada mesyuarat hari ini (semalam) kami sudah menyediakan dua jadual Piala Malaysia sekiranya Johor DT layak ke final Piala AFC atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui selepas selesai mesyuarat JKPT semalam.

Berdasarkan keputusan mesyuarat itu, sekiranya Johor DT layak ke final Piala AFC, perlawanan Piala Malaysia yang ditangguhkan pada 3 Oktober lalu akibat jerebu antara Johor DT II menentang Terengganu di Stadium Majlis Perbadaran Pasir Gudang, PDRM menentang Pahang di Stadium Shah Alam, PKNS FC menentang Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang akan berlangsung pada 27 Oktober, manakala ATM menentang Sarawak di Stadium Tuanku Abd Rahman Paroi pada 4 November.

Aksi Perak dengan Johor DT di Stadium Perak Ipoh yang tertangguh pada 4 Oktober lalu dibawa ke 4 November depan.

Sekiranya Johor DT gagal ke final Piala AFC, perlawanan antara ATM dengan Sarawak dan Perak dengan Johor DT itu akan diadakan pada 28 Oktober.

Jelas Afandi yang juga Timbalan Presiden FAM, pegawai perlawanan berhak menangguhkan lagi perlawanan selepas ini andainya jerebu melanda di kawasan terbabit dengan had Indeks Pencemaran Udara (IPU) 150 seperti yang ditetapkan.

“Walaupun sudah buat ketetapan namun pada hari perlawanan masih berlaku jerebu kami masih guna pakai garis panduan sama untuk pegawai perlawanan menangguhkan perlawanan.

“Dengan penangguhan perlawanan ini, jadual masih tidak begitu padat, mereka masih ada tiga hingga empat hari untuk berehat namun selepas selesai saingan peringkat kumpulan, tempoh rehat lebih lama buat pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 6:40 AM