PASUKAN PKNS bawa cabaran ke Kota Singa.
PASUKAN PKNS bawa cabaran ke Kota Singa.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: “Kami tidak akan boikot sebaliknya akan tetap ke Singapura walaupun bukan pasukan Selangor yang akan beraksi (Piala Sultan Selangor).”

Itu janji dua kelab penyokong tegar Selangor - Kelab Penyokong Bolasepak Selangor (SSFC) dan Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC) - berhubung keputusan penganjur Piala Sultan Selangor menyenaraikan PKNS FC untuk menentang pasukan Pilihan Singapura pada 6 Mei ini.

Menurut Naib Presiden SSFC Norazman Abbas, meskipun kecewa dengan keputusan penganjur mengenepikan pasukan negeri daripada kejohanan itu SSFC tetap menyokong penuh biarpun ia akan diisi pasukan berstatus kelab.

“Ia titah Sultan Selangor yang mahukan PKNS mewakili negeri. Walaupun pahit namun ia harus diterima dan kami tetap akan pergi ke sana (Stadium Jalan Besar).

“Tiada istilah boikot atau melanggar titah Sultan Selangor kerana kami penyokong setia Merah Kuning sejak sekian lama,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Bagi Presiden ASFC Mohd Faizal Wahid, beliau tetap merancang membawa rombongan penyokong ke Kota Singa itu biarpun kehangatan perlawanan itu mungkin hilang susulan penyertaan PKNS.

“Sudah menjadi tradisi pasukan Selangor sentiasa dihantar untuk menyertai Piala Sultan Selangor saban tahun. Mungkin bahangnya tidak sama, tapi sebagai rakyat negeri Selangor, kami tetap menyokong kejohanan itu,” kata Faizal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 9:58 AM