Bangkok: Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha semalam berang dan menyelar pihak yang berterusan mengkritik kerajaan tentera pimpinannya.

Beliau juga mengancam mengenakan program tahanan kepada sesiapa yang terus mengkritik junta tentera itu.

Bekas ketua tentera yang terkenal dengan ketegasannya itu kini terkenal pula dengan reputasi mudah tersinggung dan sering menyelar media sejak mengetuai rampasan kuasa tahun lalu.

Kerajaannya sering dikritik kumpulan hak asasi manusia dan negara Barat kerana mengenakan tindakan keselamatan untuk menghapus suara pembangkang.

Antara tindakan keselamatan yang digunakan adalah program tahanan atau dikenali sebagai program pelarasan sikap.

Satu soalan dari wartawan mengenai status dua ahli politik yang ditahan tentera baru-baru ini sekali lagi mencetuskan kemarahan beliau.

“Saya tidak menggunakan undang-undang terhadap individu yang menentang saya, tetapi terhadap mereka yang bersalah. Adakah anda faham?” katanya kepada wartawan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:14 AM