SEMUA masyarakat Islam  dibawa ke lokasi yang tidak dinyatakannya demi keselamatan mereka. FOTO Agensi
SEMUA masyarakat Islam dibawa ke lokasi yang tidak dinyatakannya demi keselamatan mereka. FOTO Agensi
Agensi

NEGOMBO, SRI LANKA: Ratusan penduduk Islam melarikan diri dari bandar ini yang terletak sejam perjalanan dari Colombo apabila ada rumah masyarakat Islam diserang penduduk tempatan ketika ketegangan dan sentimen terus memuncak berikutan serangan bom mengorbankan 359 orang.

Mulai kelmarin, ratusan penduduk Islam sebahagian besarnya berketurunan Pakistan di bandar pelabuhan di utara Colombo itu menaiki bas yang disediakan pemimpin tempatan dengan kawalan polis demi keselamatan diri.

“Akibat serangan bom itu, penduduk tempatan Sri Lanka menyerang rumah kami. Buat masa ini, kami belum tahu mahu ke mana,” kata Adnan Ali yang berketurunan Pakistan sebelum menaiki bas.

Berita yang tersebar menyatakan serangan terhadap empat hotel dan tiga gereja itu dilakukan dua pertubuhan Islam Sri Lanka menyebabkan penduduk tempatan yang majoritinya etnik Sinhala beragama Buddha memandang serong kepada penduduk minoriti Islam.

Satu daripada gereja yang diserang ialah Gereja St Sebastian yang terletak di Negombo.

Sri Lanka mempunyai 21 juta penduduk dengan penduduk Islam hanya 10 peratus, minoriti kedua terbesar selepas penganut Hindu. Tujuh peratus lagi penduduk beragama Kristian.

Masyarakat Islam menjadi sasaran ‘kebencian’ sejak perang saudara dengan pemberontak Tamil berakhir 10 tahun lalu. Sami Buddha mengetuai kempen membenci penduduk Islam dan pada 2013 serta tahun lalu, perniagaan masyarakat Islam diserang.

Malah, ada yang menyebarkan khabar angin bahawa etnik Sinhala akan mandul jika membeli pakaian dalam dari kedai peniaga Islam dan makanan dijual peniaga Islam akan menyebabkan ketidaksuburan.

Sebahagian besar penduduk Islam di Negombo adalah pengikut mazhab Ahmadi yang dihalau dari Pakistan selepas kumpulan mereka diisytiharkan menyeleweng.

Antaranya, Farah Jameel yang memberitahu dia dihalau keluar dari rumah sewa oleh pemilik rumah.

“Wanita itu berkata, ‘keluar dari sini dan pergi ke mana kamu mahu pergi, tetapi jangan tinggal di sini’,” katanya yang berkumpul dengan masyarakat Islam lain di Masjid Ahmadiyya, menunggu bas.

Pegawai polis Balai Polis Katara, Sisila Kumara berkata, semua masyarakat Islam itu dibawa ke lokasi yang tidak dinyatakannya demi keselamatan mereka.

“Mereka ditempatkan di lokasi yang selamat. Mereka yang menentukan sama ada akan kembali ke sini atau tidak,” katanya.

Keharmonian etnik di Negombo yang pernah menjadi tempat perlindungan kepada pelarian, termasuk mereka yang kehilangan rumah akibat tsunami 2004, kini terancam akibat serangan bom itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 7:47 AM