Susunan Norhayati Nordin


Kisah cinta lokasi membabitkan pasangan aktor dan aktres barangkali menjadi lumrah dalam industri hiburan Filipina apabila kemesraan terjalin diteruskan di luar lokasi.

Kalau dulu Jericho Rosales pernah bermain cinta dengan Kristine Hermosa begitu juga John Llyod Cruz dan Bea Alonso dan tidak ketinggalan pasangan popular, Dingdong Dantez dan Marian Rivera.

Bagaimanapun, tidak semua hubungan mesra dijalin dari set penggambaran hingga ke luar lokasi itu berakhir dengan kebahagiaan. Rata-rata hubungan itu putus di tengah jalan tatkala gandingan baru menjelma.

Begitu juga dengan kisah kemesraan antara pelakon jelita, Kim Chiu, 25, dengan aktor kacak, Xian Lim, 26. Mereka mula rapat sejak berlakon bersama dalam drama Ina, Kapatid Anak, tiga tahun lalu.

Kesinambungan hubungan mesra itu berterusan apabila tahun lalu, Kim dan Lim bersatu dalam filem Bride For Rent. Filem genre romantik komedi itu berjaya mencatat kutipan pecah panggung di Filipina.

Kim yang pernah menjalin cinta dengan aktor Gerald Anderson selama empat tahun dari 2006, bagaikan bermain teka-teki mengenai hubungan cintanya dengan Lim.

Bagaimanapun, Kim gembira apabila peminat merestuinya dan kini gandingan mereka berdua dinantikan peminat mereka.

Terbaru, pasangan sejoli ini akan muncul dengan filem terbaru mereka, Story of Us arahan Mae Cruz -Alviar. Meskipun baru diumumkan pembikinannya sekitar Julai lalu, peminat memberi maklum balas positif.

Diam tak diam, sudah tiga tahun Kim dan Lim bergandingan bersama sebagai pasangan lakon serasi. Kata Kim, dia tidak menduga betapa peminat sukakan gandingan mereka.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan situasi sebenar mengenai hubungan kami. Apa yang menariknya, peminat menggelarkan kami sebagai pasangan ‘KimXi’. Ia panggilan sangat manis.

“Hubungan kami memang rapat kerana diuruskan agensi bakat sama, Star Magic. Cuma, kalau bercinta itu ia tidak pasti. Apapun, di antara saya dan Lim, kami serasi, rapat dan pernah berjanji temu,” katanya.

Pada April lalu, Lim juga hadir meraikan sambutan ulang tahun Kim yang disertai keluarga, kenalan dan peminat aktres kacukan Filipina-Cina itu. Kemesraan mereka ternyata tidak mampu disembunyikan.

Kim yang mendapat jolokan ‘Puteri Filem & TV Filipina’, turut aktif sebagai model iklan dan penyanyi. Malah, Kim juga baru muncul dengan album keduanya, Chinita Princess selepas album pertama, Gwa Ai Di pada 2007.

Pengaruh positif Kim menjadikan dia pujaan peminat. Tidak hairan apabila filem lakonannya seperti I Love You, Good Bye dan Bakit Hindi Ka Crush Ng Crush Mo? mencatat kutipan pecah panggung.

Bahkan turut disebut akan mencatat kutipan pecah panggung tentunya filem Etiquette For Mistresses lakonan terbaru Kim di samping pelakon lain seperti Claudine Barretto dan Kris Aquino.

Antara nyanyian dan lakonan, Kim akui meminati kedua-duanya dan fokusnya pada nyanyian sama saja dengan lakonan kerana mahu perjalanan dua karier ini bergerak seiring.

Walau sesibuk mana pun, Kim masih sering mengemas kini status laman sosial Instagram (IG) peribadinya. Kim juga rajin memuat naik foto dia bersama rakan lain ketika di studio.

Kim akui selain sibuk berlakon, dia juga suka menghabiskan masa di studio kalau tiada penggambaran. Baginya, ada saja masa terluang sudah tentu studio menjadi lokasi pilihannya sepanjang hari.

Selepas putus dengan Anderson sekitar 2010, bekas kekasihnya kini rapat dengan Maja Salvador. Bagaimanapun, hubungan Kim dan Maja didakwa kurang mesra dan mereka tidak lagi berkawan baik seperti dulu.

Maja dikatakan kurang selesa apabila Kim dan bekas teman lelakinya digandingkan semula di layar perak pada tahun lalu.

Kim yang sentiasa ceria dan mudah tersenyum, enggan mengulas dakwaan itu. Katanya, kisah yang lama sudah berlalu dan dia lebih suka bersikap profesional.

“Saya tidak kisah berlakon dengan sesiapa saja termasuk Anderson. Bagi saya ia sekadar lakonan dan saya harus bersikap profesional,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:02 AM