PELAKON Katrina Kaif (kiri), Shah Rukh Khan (tengah) and Anushka Sharma (kanan) ketika promosi filem 'Zero' di Mumbai. FOTO AFP
PELAKON Katrina Kaif (kiri), Shah Rukh Khan (tengah) and Anushka Sharma (kanan) ketika promosi filem 'Zero' di Mumbai. FOTO AFP
AFP

LAKONAN bintang handalan Bollywood, Shah Rukh Khan sebagai orang kerdil dalam filem terbaru yang akan ditayangkan minggu ini diharap mampu mencipta kutipan pecah panggung selepas ketandusan kejayaan seperti itu akhir-akhir ini.

Filem bertajuk ‘Zero’ itu yang bakal menemui penonton di Mumbai, esok mengisahkan percintaan tiga segi ikon perfileman Hindi berkenaan bersama aktres Anushka Sharma dan beliau turut mengalami perubahan saiz hasil penggunaan kesan khas.

Pengarah Aanand L Rai percaya beliau berjaya membawa pelakon dikenali dengan gelaran ‘King Khan’ itu keluar dari zon selesa apabila melakonkan watak setinggi 90 sentimeter.

“Kisah seperti ini yang menceritakan perjalanan cinta seorang lelaki memerlukan lakonan hebat daripada pelakon seperti beliau. Dengan memilihnya, kami mencabar King Khan membuktikan kemampuan melakonkan watak itu,” kata Rai.

Zero yang banyak menggunakan kesan khas menampilkan Sharma sebagai pakar sains Pengurusan Angkasa Lepas dan Aeronautikal Nasional (NASA) tetapi menghidap penyakit ‘cerebral palsy’ manakala Katrina Kaif melakonkan watak pelakon Bollywood dengan masalah ketagihan alkohol.

Bauua Singh lakonan Shah Rukh pula berdepan masalah mencari pasangan hidup akibat ketinggian dan menjalinkan hubungan rapat dengan kedua wanita berkenaan ketika cuba mencari cinta sejati.

Ia adalah filem pertama Khan selepas ‘Jab Harry Met Sejal’ tahun lalu manakala dua filem terdahulu iaitu ‘Raees’ (2017) dan ‘Fan’ (2016) tidak mencatat kejayaan yang diharapkan.

Kutipan pecah panggung terakhir aktor berusia 53 tahun itu adalah menerusi filem ‘Dilwale’ pada tahun 2015 dan ‘Zero’ yang menelan kos dua bilion rupee (RM110.88 juta) dilihat turut memberi kesan terhadap beliau.

“Jika orang ramai merasakan ‘Zero’ amat penting untuk saya, itu adalah perasaan mereka,” kata Shah Rukh dalam temu bual bersama majalah Hindustan Times baru-baru ini.

Shah Rukh mula menjadi sebutan pada pertengahan tahun 90an menerusi siri filem romantik seperti ‘Dilwale Dulhania Le Jayenge’ dan ‘Kuch Kuch Hota Hai.’

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 7:01 PM