Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Dua sahabat dalam perjalanan menoreh di Ladang Bahau, di sini, maut apabila motosikal ditunggangi diseret kereta di Kilometer 5, Jalan Bahau-Rompin, di sini, 4.45 pagi ini.

Sumber polis berkata, M Yesdass, 62, mengambil rakannya, K S Lalitha, 42, di Taman Bahau dari rumahnya di Taman Megah, untuk menoreh bersama.

Katanya, setibanya dekat ladang dan ketika hendak membelok ke kanan jalan, sebuah kereta dari arah Bahau ke Rompin tidak menyedari kehadiran motosikal dari arah bertentangan itu sebelum mengheret bahagian sisi kenderaan ke bahu jalan.

"Akibat seretan itu, kedua dua mangsa tercampak sejauh lima meter dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, pemandu kereta berkenaan yang juga seorang lelaki 32 tahun hanya cedera.

Katanya, kedua-dua mayat dan pemandu yang cedera dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat dan rawatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 4:17 PM