Oleh Abnor HamizamAbd Manap

Jempol: Luluh hati seorang ibu apabila melihat jasad anak lelakinya yang maut dalam kemalangan dengan lori di Kilometer 15, Jalan Bahau-Rompin, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam keadaan menahan sebak, Juhar Kadir, 58, beberapa kali mengesat air mata di sisi mayat arwah Muhamad Ridduan Abdul Karim, 35, yang ditutupi dengan kain dan surat khabar, sekali gus mengundang simpati orang awam di tempat kejadian.

Dia ditenteramkan suaminya, Abd Karim Samad, 65, yang turut bersedih dengan kematian anak kedua daripada empat beradik itu.

Ketika kejadian jam 6.45 pagi, Muhamad Ridduan yang juga peniaga runcit baru selesai membeli barang keperluan niaga di Pasar Borong Bahau dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sentosa, Gemas, dekat sini, dengan memandu kenderaan serba guna (MPV) Toyota Wish.

Arwah yang juga Ketua Pemuda UMNO taman itu ditemani isterinya, Nur Azizah Ariffin, 33, dan anak perempuan, Puteri Aina Aisha, 4, namun mereka terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias berkata, siasatan pihaknya mendapati sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dinaiki mangsa cuba mengelak daripada melanggar pokok tumbang di laluannya sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori tiga tan menghala ke Bahau.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa parah di badan dan maut di tempat kejadian. Mayatnya yang tersepit dikeluarkan dari kenderaan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bahau.

“Bagaimanapun, isteri dan anaknya hanya cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Jempol (HJEM) untuk rawatan,” katanya.

Hamzah berkata, pemandu dan dua penumpang lori tidak cedera.

Katanya, mayat mangsa dihantar Ke HJEM untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Abdul Karim berkata, arwah anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika bertemu di kedainya petang kelmarin.

Katanya, arwah yang juga anak kedua daripada empat adik-beradik ceria dan suka bergurau dengan ahli keluarga lain.

“Kebiasaannya arwah pergi ke pasar membawa lori jika mahu membeli barang yang banyak, namun pagi tadi (semalam) dia memandu kereta kerana tidak banyak barang yang dibelinya.

“Saya menerima panggilan daripada menantu yang memberitahu mengenai kemalangan ini dan bergegas ke tempat kejadian bersama isteri sedih dimaklumkan anak saya sudah tiada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 11:44 AM