Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun aksi antarabangsa skuad hoki negara tidak begitu memberangsangkan sejak kebelakangan ini, barisan pemain Malaysia masih mampu memikat kelab Eropah.

 Terbaru, dua pemain skuad hoki negara Faiz Helmi Jali serta Rashid Baharom melangkah setapak lagi dalam karier masing-masing apabila menerima lamaran untuk beraksi bersama kelab yang beraksi di Liga Hoki Kebangsaan Jerman, Schwarz Weiss Neuss bagi tempoh panjang.

Schwarz Weiss Neuss kelab yang baru naik ke divisyen utama Bundesliga selepas muncul juara Divisyen Satu musim lalu.

Faiz yang ketika ini beraksi bersama Sapura dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) mengesahkan akan menyarung jersi kelab itu untuk musim 2015/2016 sebaik tugasnya bersama Sapura berakhir hujung bulan ini.

“Benar, saya ada menerima tawaran kelab Jerman untuk beraksi bersama mereka. Tawaran ini hadir ketika saya beraksi di saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia lalu.

“Saya akan pergi pada 23 September sehingga November sebelum liga berehat seketika,” katanya.

Jelas Faiz, dia akan sekali lagi menyambung tugasnya bersama kelab sama bermula Februari sehingga Jun tahun depan.

Mengulas lanjut mengenai peluang keemasan itu, Faiz mengaku begitu teruja untuk beraksi bersama kelab itu.

“Sudah tentu saya gembira bakal menimba pengalaman beraksi di luar negara.

“Apapun, saya perlu segera sesuaikan diri dengan keadaan cuaca, masa dan corak permainan di sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 10:04 AM