RASHID (kiri) menerima tawaran sertai kelab , Racing Club de France.
RASHID (kiri) menerima tawaran sertai kelab , Racing Club de France.
Naqib Nor Said

PENYERANG kebangsaan, Rashid Baharom teruja untuk beraksi dalam kempen Liga Hoki Eropah (EHL) 2018 selepas mengesahkan menerima tawaran menyertai juara Perancis, Racing Club de France (RCF).

Dia akan berangkat ke negara berkenaan pada Selasa ini dengan ditemani rakan senegara, Shazril Irwan Nazli yang turut akan berpangkalan di sana selama tiga bulan.

Andai menjadi kenyataan kedua-duanya bakal memahat sejarah selaku pemain pertama Malaysia beraksi dalam EHL jika diturunkan dalam aksi pusingan 16 terakhir menentang kelab Jerman, Uhlenhorst Mulheim pada 31 Mac ini.

Namun, di sebalik berita gembira itu, Rashid mendedahkan yang bekas pertahanan legenda negara, Nor Azlan Bakar yang banyak memainkan peranan dalam merealisasikan impian besarnya itu.

“Sebagai pemain hoki, memang saya begitu teruja untuk beraksi dalam EHL yang dianggap setaraf seperti Liga Juara-Juara buat sukan bola sepak.

“Saya anggap ia sebagai rezeki kerana saya sendiri pun tidak menyangka untuk mendapat tawaran daripada kelab yang beraksi dalam EHL.

“Apapun, saya perlu berterima kasih kepada Abang Lan (Nor Azlan Bakar) kerana mengesyorkan saya kepada Racing Club sebelum saya dimaklumkan oleh Gobi (Iman Gobinathan).

“Bukan mudah mendapat peluang bermain dengan kelab yang beraksi dalam EHL. Jadi saya bersedia memberikan terbaik. Lagipun inilah cara terbaik bagi saya mengekalkan bentuk fizikal saya,” katanya.

Sebagai rekod, RCF adalah juara bertahan Liga Hoki Perancis dengan pencapaian terbaik pada kempen EHL adalah mara ke suku akhir bagi musim 2016/2017.

Selain RCF, saingan EHL pada musim ini turut dibanjiri pasukan handalan Eropah seperti SV Kampong, KHC Dragons (Belanda) dan juara bertahan, Rot-Weiss Koln dari Jerman.

Bagaimanapun, ia bukan masalah besar buat Rashid untuk menyesuaikan diri di Eropah kerana sebelum ini pernah beraksi dalam saingan Divisyen Dua Jerman bersama HTC Shwarz-Weiss Neuss pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 7:09 PM