Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Memandangkan pemilihan baju khusus untuk ibu yang menyusukan bayi kebanyakannya tidak mempunyai kepelbagaian dalam rekaan dan warna, tidak hairan jika ramai ibu moden yang gemar berfesyen berasa hampa dan ketandusan idea untuk tampil cantik menawan.

Lambakan baju khusus untuk penyusuan yang ada di pasaran direka menggunakan pemilihan warna yang sama menyebabkan pasangan suami isteri, Muhammad Syafiq Zulkifli, 24, dan Anis Syuhada Shamsul Bahar, 24, berusaha menghasilkan rekaan baju khusus untuk penyusuan yang menarik dan terkini.

Menurut Anis Syuhada yang mengusahakan perniagaan dalam talian Feedmilk, dia dan suami berusaha mencipta kolek­si pakaian yang bukan saja selesa kepada ibu yang menyusu malah kelihatan terkini.

Kepakaran dan keistimewaan Feedmilk adalah membantu ibu yang bermasalah untuk mendapatkan fesyen pakaian menyusu yang terkini dan mudah untuk menyusu

di tempat awam tanpa kehadiran zip atau butang yang mungkin mencederakan muka bayi dan bibir semasa menyusu.

"Kepentingan khasiat susu ibu dan kewujudan jenama Feedmilk sememangnya satu kombinasi yang mampu membantu ibu untuk menyusukan bayi sambil bergaya tanpa memerlukan tempat pe­nyusuan khas semasa berada di luar rumah, majlis santai, majlis formal atau pejabat.

"Oleh itu, kami juga berharap dapat menggalakkan lebih ramai ibu kekal menyusukan anak mereka sehingga cukup tempoh penyusuan," katanya.

Anis Syuhada berkata, antara keluaran jenama terbabit yang paling menerima sambutan memberangsangkan ialah Bella Denim.

"Ia didatangkan dengan lima pilihan warna menarik iaitu biru, coklat, dusty pink peach, hot pink dan coklat gelap selain dijual dengan harga berpatutan iaitu RM112 sehelai," katanya.

Selain itu, Bella Denim dan semua pakaian keluarannya juga istimewa kerana ia tidak seperti rekaan baju penyusuan lain. Ia hanya perlu diselak di lapisan luar baju untuk menyusu dan lapisan dalam ditarik untuk kemudahan memberi susu kepada bayi sambil mengekalkan aurat ibu dan keselamatan bayi.

"Semua pelanggan yang sudah mendapatkan koleksi ini memberi maklum balas positif kerana mereka berasa ia lebih mudah dan tidak perlu membuka zip atau butang sebelum menyusukan bayi.

"Kami cuba membantu golongan ibu moden yang mahu tampil trendy khususnya kepada mereka yang sentiasa mementing­kan fesyen," ujarnya.

Semua koleksi pakaian Feedmilk boleh dilihat di laman facebook www.facebook.com/feedmilk, Instagram @feedmilk dan www.feedmilk.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:01 AM