ANIS Syuhada wanita cekal.
ANIS Syuhada wanita cekal.
BANYAK berkorban pada usia muda ketika berada di universiti.
BANYAK berkorban pada usia muda ketika berada di universiti.
Siti Nadirah Hafidzin

Mengorbankan waktu mudanya sewaktu berada di universiti dengan membahagikan masa antara pelajaran dan perniagaan menjadi cabaran terbesar kepada wanita cekal ini.

Dia tidak sama seperti penuntut lain kerana selesai saja waktu kuliah, dia segera pulang ke bilik untuk mengulang kaji pelajaran dan pada masa sama, memeriksa stok barangan yang dijualnya ketika itu.

Tiada istilah melepak atau keluar berjalan-jalan kerana baginya masa itu sangat berharga dan perlu diisi sebaik mungkin.

Mengakui walaupun berasa agak penat, apa yang dilakukan itu bukan saja memberi pulangan bermakna kepadanya malah ia banyak mengajar erti kehidupan.

Ternyata usaha anak kelahiran Kulim, Kedah itu membuahkan hasil membanggakan apabila dia berjaya mengumpul wang simpanan sendiri dalam jumlah yang agak banyak hasil usaha serta pengorbanannya pada usia muda.

Bagi Anis Syuhada Shamshul Bahar, 27, yang kini berjaya mengukir nama dan jenama miliknya Feedmilk, minat serta jiwanya ternyata pada perniagaan kerana dia mula serius dalam bidang itu sejak masih bergelar penuntut.

“Saya buang perasaan malu dan yakinkan diri yang saya sememangnya boleh berjaya dalam bidang perniagaan.

Ketika itu, dunia saya hanyalah buku dan perniagaan kerana saya mahu berjaya dengan cemerlang dalam kedua-dua bidang ini,” katanya.

Anis Syuhada bersyukur hasil titik peluh dan kesungguhannya mengorbankan masa muda untuk perniagaan, dia berjaya memiliki empayar perniagaannya sendiri yang kini diusahakan bersama suami tercinta, Muhammad Syafiq Zulkifli.

“Selepas tamat pengajian dan berkahwin, saya dan suami mengeluarkan modal sendiri untuk membuka syarikat Feedmilk Boutique Sdn Bhd ini.

“Kini kami mempunyai lebih 20 pekerja dan dalam masa dua tahun, kami mempunyai sebuah butik di Alam Avenue 2, Shah Alam, dua tingkat kilang dan dua tingkat pejabat pengurusan di Shah Alam, Selangor,” katanya.

Menurutnya, pada usia yang masih muda dia bersyukur kerana impiannya memiliki perniagaan sendiri tercapai.

“Bukan mudah untuk berada di tahap sekarang dan saya tidak boleh berpuas hati dengan apa yang ada kini kerana pasang surut dunia perniagaan pasti ada suka dan dukanya.

“Antara masalah yang dihadapi ialah ketandusan modal untuk menjalankan perniagaan kerana kami tidak membuat sebarang pinjaman, semuanya hasil keuntungan perniagaan ini,” ujarnya.

Tambahnya, dia juga memastikan keuntungan digunakan sebaik mungkin untuk kelangsungan perniagaannya.

“Paling utama saya tidak boleh boros kerana sifat itu amat berbahaya kepada peniaga seperti kami. Selain itu, saya dan suami juga perlu komited menguruskan perniagaan termasuklah aspek kebajikan kakitangan,” katanya.

Pilihan ibu menyusu

Anis Syuhada bersyukur kerana jenama Feedmilk popular dan pilihan kalangan ibu menyusukan anak di negara ini.

“Saya bersyukur kerana jenama ini dijadikan contoh untuk jenama lain dalam perniagaan baju menyusu. Kami juga mendidik ramai ibu untuk terus menyusukan bayi dengan koleksi baju menyusu terkini dan moden tanpa menggunakan zip sorok atau butang yang kadang kala menyukarkan proses penyusuan,” katanya.

Menurutnya, kejayaan kini bukanlah sesuatu yang mudah dan dia akan terus berusaha mengekalkannya.

“Saya perlu berusaha lebih kuat demi empayar perniagaan diusahakan ini bukan saja bertahan, malah lebih cemerlang pada masa akan datang.

“Selain itu, saya berharap dapat membantu lebih ramai ibu terus menyusukan bayi walau apa juga cabarannya,” ujarnya.

Dia akui sentiasa memegang prinsip tidak memandang perniagaan itu sebagai satu perkara yang mudah selain perlu bersedia dalam semua aspek terutama kekuatan emosi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 1:37 PM