BUSANA direka tidak terdedah ketika menyusukan bayi.
BUSANA direka tidak terdedah ketika menyusukan bayi.
Siti Zarinah Sahib


Siapa sangka ujian yang dihadapi wanita ini pada saat pembantu rumah melarikan diri dan meninggalkan dua anaknya begitu saja menyimpan hikmah tersembunyi.

Rentetan kejadian itu dengan tiada duit simpanan, pengasas jenama Mumsluv Aida Fazlin Mohd Mustafa tekad mengambil cuti tanpa gaji bagi memberi sepenuh perhatian kepada anaknya.

Dalam tempoh enam bulan, dia mula memikirkan perkara yang boleh dilakukan bagi membantu meringankan bebanan suami yang terpaksa menanggung perbelanjaan seorang diri.

“Oleh kerana masih menyusukan anak sepenuhnya, saya terfikir menghasilkan pakaian menyusu kerana mendapati tidak banyak pakaian kasual dijual ketika itu,” katanya.

Bermula dengan blaus, dia menghasilkan beberapa rekaan kemudian dimuat naik menerusi laman sosial. Tidak sangka busana dihasilkan mendapat perhatian kerana sekitar 2012, wanita masih tercari-cari blaus sedemikian yang boleh digayakan ke pejabat dan acara kasual.

“Selepas enam bulan dipasarkan menerusi alam maya, saya mula berkira-kira mahu berhenti kerja. Ini kerana permintaan yang tinggi menyebabkan saya tidak menang tangan melayan tempahan pelanggan. Tambahan pula memikirkan anak terjaga kerana saya dapat melakukan kerja dari rumah,” katanya.

Jelas Aida, rekaan yang sederhana, kemas dan praktikal menyebabkan busana menyusu turut mendapat perhatian daripada wanita Cina dan India. Potongan pada bahagian dada dengan meletakkan alas menjadi tanda pengenalan jenama ini.

Ini berbeza dengan baju menyusu berzip hadapan kerana ia kelihatan lebih terdedah ketika menyusukan bayi dan mungkin tidak disukai segelintir wanita.

“Hampir semua busana Mumsluv diletakkan alas pada bahagian dada bagi memudahkan penyusuan. Apabila menyusu ia tidak mendedahkan bahagian dada dan lebih memudahkan ibu ketika menyusukan bayi di tempat awam,” katanya.

Menerima maklum balas positif pelanggan disebabkan rekaan yang boleh digayakan selepas tidak lagi menyusukan bayi, antara pakaian yang mendapat perhatian ialah blaus, kemeja-T labuh, tunik, baju kurung, gaun dan jubah yang menggunakan fabrik kapas, moss crepe dan como crepe.

Menggunakan fabrik bercorak dan polos pada helaian busana, jelas Aida, setiap rekaan ada peminat tersendiri.

“Pakaian polos misalnya lebih digemari kerana boleh digayakan ke pejabat manakala bercorak untuk gaya kasual. Apa yang penting wanita boleh menggayakannya dengan palazo, slack atau skirt mengikut kesesuaian,” katanya.

Butik Mumsluv dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 9 malam. Bagi mereka yang ingin mendapatkan busana menyusu boleh membeli menerusi Facebook mumsluvexclusive atau laman sesawang mumsluv. Harga ditawarkan bermula RM39 sehingga RM100 untuk blaus manakala gaun dan jubah bermula pada harga RM130 hingga RM170.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 5:02 AM