Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Transisi bermula musim bunga hingga luruh memberi inspirasi dalam mencipta koleksi terbaru baju-T yang ditampilkan jenama Couple T-shirt Malaysia (CTM).

Semua koleksi musim ini sesuai digayakan lelaki dan wanita dalam ling­kungan usia 17 hingga 30 tahun. Buat pertama kali, jenama berkenaan meleng­kapkan koleksi musim ini dengan baju-T berpenutup kepala (hoodie) bagi memenuhi cita rasa pemakai masa kini yang lebih trendy.

Selain itu, jenama berkenaan turut menampil­kan baju pasangan khas versi program realiti popular Running Man dari Korea Selatan untuk peminat mereka di Malaysia yang sesuai digayakan golongan muda dan remaja.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ilanicious T-shirt, Wan Nur Ilani Wahed, enam rekaan baju-T berkonsepkan pasangan dan lima untuk baju keluarga memenuhi koleksi kali ini.

"Inspirasi dan tema baju ini tercetus apabila melihat trend semasa pembeli yang lebih terbuka dan berani dalam bergaya. Pada masa sama, mereka mahukan rekaan yang lebih unik.

"Kebanyakan mereka apabila ditanya mahukan baju pasangan yang ceria dengan warna kontras. Justeru, rekaan terkini diilhamkan daripada peralihan musim," katanya.

Katanya, koleksi Kasih Sayang yang dilancarkan pada 26 Oktober lalu boleh didapati di seluruh Malaysia bagi memenuhi kehendak pengguna yang sudah mencecah 345,000 di laman Facebook.

Melalui koleksi terbaru itu, ia sekali gus menjadikan semua helaian ditampilkan jenamanya berjumlah 13 koleksi dengan 150 rekaan baju untuk pasangan.

Uniknya, semua baju untuk pasangan dicetak terus di kilang jenama itu sendiri untuk mengekalkan konsep eksklusif setiap rekaan.

Malah, pelanggan boleh mengubah suai warna rekaan atau menambah nama mahupun ayat sendiri pada baju yang ­ingin dibeli. Selain koleksi terbaru itu, jenama berkenaan turut memperkenalkan baju untuk Muslimah agar kekal tampil sopan walaupun mengenakan baju-T.

Baju-T lengan panjang dihasilkan dengan ­menambah pilihan ­warna daripada dua ton iaitu merah dan hitam kepada sembilan rona termasuk merah jambu, kuning, kelabu, ungu, biru muda, putih serta hijau muda.

Harga baju masih dikekalkan iaitu RM60 untuk dua helai dengan pos penghantaran percuma bagi Semenanjung Malaysia kecuali Sabah dan Sarawak.

Malah, kehangatan gaya baju-T yang sering mengikuti perkembangan semasa itu berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Singapura dan Brunei.

Bagi meluaskan empayar perniagaannya, jenama berkenaan turut melantik pengedar di Brunei melalui syarikat Dhiya Mhita untuk memudahkan pasaran baju di negara itu.

Untuk sebarang maklumat lanjut, layari Couple T-shirt Malaysiahttps://www.facebook.com/CoupleTShirtMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:00 AM