Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Selain hitam dan putih, rona kelabu adalah warna kegemaran ramai lelaki kerana ia mudah dipadankan dengan pelbagai gaya untuk penampilan lebih tampan dan kemas.

Malah, warna berkenaan juga sesuai bagi jejaka yang tidak mempunyai keberanian dan keyakinan tinggi untuk menggayakan pakaian rona terang atau berwarna-warni.

Bermula daripada helaian kemeja-T hinggalah kemeja, Guess memberikan pilihan 15 warna kelabu yang berbeza dan menarik untuk digayakan jejaka bagi memenuhi semangat musim panas tahun ini.

Bukan itu saja, malah populariti pakaian denim masih diterima ramai kerana hampir semua orang tanpa mengira usia dan latar belakang gemar menggayakannya.

Kehadiran celana atau jaket denim yang bukan saja tahan lasak malah mudah dipadankan dengan pakaian kasual lain dianggap mampu menyempurnakan koleksi pakaian di dalam almari.

Jika dulu, agak janggal bagi pencinta fesyen menggayakan dua atau lebih pakaian denim dalam satu penampilan, namun kini ia semakin diterima dan dianggap sebagai trend masa kini.

Bagi penggemar fabrik berpetak sama ada bersaiz kecil atau besar, jenama berkenaan turut menampilkan beberapa pilihan kemeja menarik bagi memenuhi cita rasa jejaka yang mahu bergaya kasual tatkala ke pejabat pada hujung minggu.

Helaian buat jejaka berani juga tidak ketinggalan memberikan idea bergaya menarik dengan baju-T dan kemeja warna terang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 11:46 AM