SHAZZWAN pertaruh album Titipan Banduan Muda.
SHAZZWAN pertaruh album Titipan Banduan Muda.
Oleh Ramlah Zainal


Bakatnya dalam genre muzik hip hop digilap daripada program ‘Talent For The World’ anjuran Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) sejak 10 tahun lalu.

Selepas dibimbing mentornya, Yogi B yang juga bekas anggota kumpulan hip hop terkenal Poetic Ammo dalam program itu, barulah Shazzwan, 28, yakin untuk muncul dengan album berjudul Titipan Banduan Muda tahun ini.

Shazzwan mengakui dia muncul dengan album bukan untuk mencari glamor sebaliknya ingin berkongsi pengalamannya sepanjang terbabit dalam dua program anjuran YRMS iaitu ‘Self-Discovery for Young Adults Workshop’ dan ‘Talent For The World’ itu.

“Semuanya bermula selepas terpilih menjayakan bengkel motivasi anjuran YRMS untuk pelajar yang kurang berjaya dalam bidang akademik di sekolah.

“Bengkel motivasi itu juga membuka mata saya. Di situlah saya bertemu Yogi yang turut menjadi panel untuk bengkel itu dan menekankan bagaimana anak muda boleh berjaya dengan bakat yang ada.

“Saya juga berpeluang menunjukkan bakat dalam tarian rap dan menulis lagu dalam bengkel berkenaan. Malah, pada acara kemuncak bengkel, saya diberi cabaran jika lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan cemerlang, akan ditaja YRMS untuk menjadi penyanyi rap di bawah seliaan Yogi B.

“Akhirnya, saya berjaya (lulus) dan impian untuk menjadi penyanyi rap juga tercapai dengan menjadi sebahagian daripada program Talent For The World,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai albumnya, kata Shazzwan, ia menceritakan perjalanan kisah hidupnya daripada bekas pesalah juvana hingga berjaya menjadi seperti hari ini.

“Saya tidak berasa malu untuk tampil ke depan dan memberitahu kisah silam hidup yang hitam dulu. Selain berkongsi pengalaman hidup, saya juga membawa nama YRMS untuk program ‘Talent For The World’ sekali gus berkongsi misi dengan generasi muda lain,” katanya yang mencipta sendiri semua lagu dalam album berkenaan bersandarkan pengalaman hidupnya.

Menurut Shazzwan, dia juga akan menampilkan bekas peserta Mentor 6, Tisha menerusi lagu berjudul You Are My dalam satu lagu yang akan disampaikan pada majlis pelancaran albumnya nanti.

“Saya memang tidak kenal rakan artis terutama penyanyi wanita. Namun, seorang rakan dalam industri muzik memperkenalkan saya dengan Tisha. Saya tertarik untuk menampilkan Tisha dalam lagu ini kerana dia berbakat, tetapi tidak dapat peluang untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang nyanyian. Tisha juga memberikan kerjasama yang baik ketika sesi rakaman lagu ini,”katanya yang turut mencipta lagu dan lirik untuk beberapa penyanyi tempatan.

Majlis pelancaran album Shazzwan akan disempurnakan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YRMS Datin Paduka Tengku Zatashah Sharafuddin di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 27 Ogos ini.

Sementara itu Yogi selaku mentor Shazzwan berkata, dia bangga dengan pencapaian Shazzwan hari ini.

“Sebagai mentor, saya akui bukan mudah untuk membimbing bekas pesalah juvana sepertinya untuk menjadi penyanyi rap dan penggubah lagu yang berjaya. Dia tiada asas dalam bidang muzik. Sebab itu, saya mengambil tempoh selama 10 tahun untuk membimbingnya dalam muzik hip hop.

“Pada pandangan saya, Shazzwan memang berbakat sebagai penulis lirik dan semua lirik yang terkandung dalam album ini cukup ‘outstanding’. Selain muzik hip hop, saya juga membimbingnya untuk menceburi dunia perniagaan dengan menubuhkan studio rakamannya sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif YRMS Aminah Abdul Rahim berkata, program Talent For The World bertujuan membantu anak muda yang kurang bernasib baik, berbakat dan mempunyai kemahiran, tetapi tidak mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran atau maju ke hadapan.

“Dalam program ini, hanya yang berbakat dan yang terbaik akan dipilih khas untuk dilatih dan dibimbing seorang mentor. Tiga belia yang berjaya dilatih dalam program ini ialah Wong Eng Leong (pelukis), Goh Chiu Kuan yang cenderung dalam pembuatan arca seramik dan Azhar Asrar yang menghasilkan arca yang diukir daripada batu marmar,”katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 10:05 AM