BOB bersama The Family Man.
BOB bersama The Family Man.
Oleh Nor Akmar Samudin


Selama 11 tahun dalam industri muzik tanah air, banyak sekali dilalui penyanyi berbakat besar, Bob, 34.

Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim kedua ini terus berjuang tanpa henti biarpun terpaksa berdepan dengan kesuraman jualan album.

Selepas menghasilkan album sulung bersama Maestro Talent & Management, Bob bergerak sendiri dan bersedia untuk muncul dengan album penuh yang kedua.

Namun, ternyata nasib tidak menyebelahinya apabila lagunya jarang dimainkan di stesen radio.

“Hanya ada satu dua lagu saja yang dimainkan antara­nya Cinta Terhalang. Pada saya tiada gunanya saya hasilkan album itu jika setiap hasil karya saya seperti tidak dihargai.

“Pada saya semua lagu itu bagus dan pendengar pasti suka. Saya rakamkan 10 lagu, tetapi saya tidak jadikan ia satu album. Biarlah ia menjadi kenangan saya,” katanya.

Menurut Bob atau nama sebenarnya, Yusrizan Usop, dia tidak melihat industri muzik ini untuk dia mencari glamor atau mengejar anugerah, namun sekiranya dia mendapat trofi penghargaan, ia adalah bonus.

“Pada saya, nyanyian adalah pekerjaan dan saya akan terus buat sesuatu dengan mencipta lagu, menulis lirik dan mengajar mereka yang mahu belajar menyanyi. Kepada yang mahu belajar dengan saya boleh lawati Instagram saya, bobyusof atau e-mel ke [email protected].

“Ia bukanlah kelas vokal, tetapi lebih kepada cara untuk belajar menyanyi. Saya akan beri ‘personal coaching’ kepada mereka,” katanya.

Sebagai penyanyi, dia mesti ada produk baru dan tahun ini dia akan mula mendaki semula. Biarpun agak perlahan, namun dengan harapan ia akan terus bertahan sampai bila-bila.

Terbaru, Bob bekerjasama dengan kumpulan The Family Man menerusi lagu hip hop berkonsep ketuhanan berjudul Rintihan.

“Sebenarnya, bukan senang untuk saya bekerjasama dengan artis lain namun lagu ciptaan Big Daddy G yang juga anggota The Family Man amat menarik. Saya juga bukan penyanyi hip hop, tetapi saya sukakan muzik dan liriknya yang menceritakan mengenai ibu bapa serta keluarga.

“Malah ketika rakaman dibuat, saya turut menambah lirik agar ia lebih menarik dan Big Daddy G menerimanya. The Family Man asalnya adalah kumpulan MIX yang semua anggotanya berasal dari Kuching, Sarawak. Mereka pernah aktif di Kuala Lumpur, tetapi beberapa tahun lalu mereka kembali ke Kuching.

“Sekembali ke sana, ada yang mengusahakan perniagaan keluarga dan sebagainya. Bagaimanapun, darah seni yang deras mengalir dalam darah Big Daddy G dan Awayne, mereka menubuhkan kumpulan baru iaitu The Family Man,” katanya.

Bob yang berasal dari Limbang, Sarawak sudah mengenali MIX sebelum dia menyertai AF lagi kerana mereka pernah bertemu ketika bersama-sama merakamkan lagu di studio di Kuching.

“Jadi anggota MIX bukanlah asing pada saya. Lagu Rintihan dirakamkan di bawah label FMC dan selesai rakaman mereka balik ke Kuching dan akan turun ke KL jika ada sesi fotografi dan mempromsikan lagu itu.

“Buat masa ini The Family Man akan terus menetap di Kuching menguruskan perniagaan mereka di sana.Kalau saya ada per­sembahan di Kuching, saya akan panggil mereka membuat persembahan bersama-sama,” katanya.

Untuk single akan datang, The Family Man akan tampilkan seorang lagi anggota MIX iaitu Farhan B.

Dalam masa yang sama, Bob juga akan tampil dengan single terbarunya berjudul Jangan-Jangan dan dia juga sedang mencari ‘material’ baru untuk single kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 9:27 AM