LINCAH gerak tari mengikut rentak lagu.
LINCAH gerak tari mengikut rentak lagu.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Melihat gerak sekumpulan penari yang tidak teragak-agak membuat ‘head stand’ dan ‘back flipping’ membayangkan badan mereka seolah-olah ringan seperti kapas.

Tidak cukup dengan itu, sesekali mereka beraksi ‘mengajuk’ penari lawan mengundang tawa penonton yang menyaksikan pertandingan Free Circle Crew anjuran Freedom Dance Studio di Lot 10 Bukit Bintang baru-baru ini.

Kadangkala rasa ngilu dan gerun apabila sebahagian peserta meliuk tubuh serta membuat rutin lebih sukar dalam menarik perhatian juri bertujuan mematahkan gerakan lawan.

Kelainan turut diperlihatkan dalam pertandingan itu adalah pentas utama menampilkan dua ‘battle’ berlangsung serentak menampilkan empat kru bersaing sengit mengalahkan lawan masing-masing.

Buat seorang penari, Mohd Saiful Amri Abdullah, 17, biarpun dua perlawanan berlangsung serentak dia tidak hilang fokus malah cuba memberikan terbaik.

Katanya, yang membabitkan diri sejak usia sembilan tahun, minat itu dikongsi bersama bapa saudaranya, Mohd Fitri Bhaim.

“Dalam pertandingan ini saya sertai bersama ayah saudara. Kami tiada masalah memahami pasangan kerana kami sudah mengenali kekuatan dan stail masing-masing.

“Jadi kami tidak hilang rentak mahupun sukar menyesuaikan diri, kerana kami boleh faham koreografi dan masing-masing tahu bahasa tubuh.

“Untuk petandingan bukanlah hadiah menjadi motivasi sebaliknya kami ingin berseronok dan memperkemaskan skil tarian kami.

“Apa juga keputusan dalam pertandingan kami rasa ianya adil dan membantu saya sendiri untuk memperbaiki ‘style’ saya miliki,” katanya.

Mengenai pencabarnya dalam pertandingan berkenaan, dia yang menetap di Puchong berkata, dalam pertandingan semua penari adalah pencabar berpotensi kerana rata-ratanya berpengalaman lebih tiga tahun dalam tarian jalanan berkenaan.

“Semua penari mempunyai gerak tari kemas selain kreativiti tersendiri membuatkan setiap pusingan mendapat perhatian pengunjung mahupun juri.

“Mereka mempunyai ‘style’ tersendiri serta membuat persiapan cukup sebelum datang berentap kerana ia bukan ‘freestyle’ sebaliknya ‘battle’.

“Jadi penari sedia tahu perlu cepat dalam membuat pilihan gerak tari ingin ditampilkan,” katanya mewakili Predacon Squad.

Manakala bagi kru dari Rhythm Lupeace, Gordon Koong, meskipun dalam kumpulannya lebih ramai kru namun ia mencabar dalam segi dinamik serta susunan tarian mahu ditampilkan.

“Dalam pertandingan ini ia bukan semborono tetapi perlu ada dinamik agar persembahan bertambah ‘hangat’. Aspek lain penari sepenuh masa seperti saya, pertandingan ini cukup penting dalam mengasah skil sedia ada agar bertambah baik selain berkongsi teknik terbaru dengan kumpulan penari ada,” katanya pernah menyertai beberapa pertandingan di luar negara seperti Jepun, Hong Kong dan Singapura.

Sementara itu bagi wakil penganjur Tam Wei Chien, dia berpuas hati dengan sambutan diterima kalangan peserta iaitu kira-kira 60 kumpulan yang hadir berentap bergelar ‘krew battle’ terbaik.

“Kita menerima penyertaan 60 kumpulan dan 200 penari dalam tempoh enam tahun penganjuran. Itu maklum balas cukup baik kita terima kalangan komuniti penari ini.

“Kami berharap itu membawa maksud kepada tarian ini makin diterima umum.

“Bagusnya dengan ada platform tarian ini ramai anak mudah berkumpul secara sihat dan bukannya memilih gejala sosial negatif sebagai pilihan mereka,” katanya bakal menganjurkan kelas tarian B Boy pada 7 April nanti di Quill City Mall Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:01 AM