SANGGUP datang dari Klang Selangor.
SANGGUP datang dari Klang Selangor.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Alunan muzik rancak dengan koreografi seolah-olah satu gerak tari dipersembahkan kumpulan membuatkan pertandingan Aerodance sempena Karnival Petaling Jaya berlangsung di deretan kedai antara acara yang mendapat sorakan gemuruh penonton.

Ruang pertandingan bukan saja dipenuhi pasukan bertanding, pengunjung yang datang turut ‘sporting’ memberi galakan kepada lebih lapan kumpulan berentap dalam kejohanan mini itu.

Mewakili kelab dan wilayah masing-masing, peserta tidak kelihatan tertekan sebaliknya yakin dengan rutin yang sudah sedia dilatih mengikut tempo muzik dimainkan.

Menurut wakil pasukan Kelab Sukan MPSJ (FAS), Raja Norfadzila Raja Ayob, dia bersama lima rakan lain sudah membuat latihan sejak dua minggu lalu.

Katanya, berpandukan koreografer hasil ciptaan Ahmad Suizuddin, gerak ditampilkan rancak serta memerlukan mereka fokus terhadap rutin berkenaan agar kelihatan seragam serta harmoni.

“Ahli kumpulan ini sering menyertai kejohanan sama. Jadi meskipun ia kejohanan mini untuk acara Aerodance ataupun tari aerobik, kami sertai sebagai tanda sokongan kepada komuniti ini.

“Biarpun acara kecergasan ini jarang dianjurkan untuk pertandingan berbanding kepada slot keraian kesihatan tetapi sebenarnya ia mempunyai keunikan serta pengikut tersendiri. Tidak mustahil jika perhatian diberikan terus kepada kejohanan sebegini agar lebih ramai pasukan menyertainya dan mendapat perhatian pihak tertentu untuk penganjuran lebih meriah,” katanya.

Norfadzila berkata, dia tertarik untuk terbabit dalam Aerodance kerana berasa ia menyeronokkan menerusi kombinasi muzik tarian selain membantu menjaga kesihatan.

Bagi wakil Shazzys Team, Azizah Saleh, 40, aktiviti Aerodance tidak mengenal had usia.

“Uniknya pertandingan senaman ini tidak pernah mendiskriminasi baik segi usia mahupun jantina sebaliknya lebih universal. Malah saya berasa acara senaman ini lebih yakin dilakukan apabila bersama rakan saling menyokong mahupun berkongsi minat sama.

“Bukan ganjaran dikejar, sebaliknya dengan pertandingan seperti kami lebih terdedah dengan disiplin baru dalam gerakan senaman. Sebenarnya banyak komponen dan ia mempunyai skop lebih luas dalam pilihan gerakan.

“Kalau kali ini bebas kerana tiada penggunaan prop dan hanya bersandarkan kepada gerakan serta penampilan menonjol dalam acara ini. Itu istimewa dan tiada syarat ketat untuk sebarang gerakan selain memerlukan kreativiti luas untuk mencantikkan bunga persembahan,” katanya.

Tenaga pengajar yang turut sama turun padang menyertai kejohanan terbabit Aniza Che Mamat, berpendapat dia perlu bijak mengikuti aliran muzik selain meneliti gerakan popular agar dapat menarik golongan muda mendekati sukan berkenaan.

“Saya mahu menarik golongan muda terutamanya agar dapat menyertai acara senaman begini dengan lebih aktif. Jadi atas faktor itu dalam kejohanan Aerodance kali ini tema saya tampilkan lebih berani iaitu ‘freak’.

“Jadi idea perlu kelihatan unik selain menonjol agar rutin kita paling diingati juri mahupun pengunjung sekali gus memperkenalkan elemen baru boleh dimuatkan dalam rutin senam tari ini,” katanya.

Selain kelibat penyertaan peserta wanita, kaum lelaki turut menunjukkan kehebatan dalam kelas tersendiri dalam senam tari terbabit.

Antara peserta yang menonjol ialah Khairul Ridzuan Abdul Kodir. Beliau yang pernah menyertai kumpulan tari tradisi berkata senam tari mempunyai cabaran tersendiri.

“Walaupun menampilkan kombinasi tari dalam kaedah senaman tapi saya berasa ia mencabar buat penari kebudayaan sambilan seperti saya.

“Berpeluh juga belajar dan menghafal langkah tari kerana elemen ditampilkan genre baru tidak pernah saya pelajari seperti hip hop. Jadi saya kena belajar dan bermula dari bawah agar tidak kelihatan sumbang dalam persembahan bersama kumpulan lain.

“Pendek kata sukan senam tari ini bukanlah mudah sebaliknya memerlukan stamina tinggi. Kalau tiada latihan cukup serta stamina, tentu saja ‘pancit’ dipertengahan persembahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:01 AM