PERSEMBAHAN kumpulan Vyration Dance Crew pada pertandingan akhir Shuddup N Dance di Klang Parade.
PERSEMBAHAN kumpulan Vyration Dance Crew pada pertandingan akhir Shuddup N Dance di Klang Parade.
Nurul Husna Mahmud


Balik kuang pada ketinggian lebih dua meter antara koreografi tari dipertontonkan wakil Filipina, Batang Mama pada final Pertandingan Shuddup N Dance anjuran ARA Asset Management Limited (ARA) bersama Peanut Butter Studio.

Acara membariskan hampir 200 penari dalam acara solo mahupun berkumpulan berjaya membuat penonton berada di ruang legar utama Klang Parade baru-baru ini terpegun.

Malah mini temasya itu meraikan komuniti tarian jalanan (street dance) bukan saja menampilkan penari hebat tempatan malah rantau Asia Tenggara. Antara menyertai ialah penari dari Filipina, Indonesia mahupun Amerika Syarikat (AS) memberi saingan hebat kepada peserta tempat menjadikan ia acara bertaraf antarabangsa.

Tingkat mutu penari tempatan

Ketua Juri, Danny Lee berkata, kehadiran peserta antarabangsa menjadikan suasana pertandingan lebih meriah daripada biasa dalam kemuncak Shuddup N Dance serta Battle of the Year Malaysia.

“Kami teruja dengan kehadiran dua penari luar dalam acara solo seperti D Soul dari AS dan penari Indonesia, Semmy Blank membantu meningkatkan cabaran buat peserta tempatan yang dipilih daripada dua pertandingan sebelum ini.

“Peserta yang berentap dalam pusingan ‘battle’ kali ini dipilih daripada pemenang di tiga lokasi iaitu Ipoh Parade, I Mont Kiara dan Klang Parade, masing-masing teruja untuk berentap dalam gelanggang tari.

“Selain kategori solo, pertandingan membabitkan kumpulan tidak kurang menggamit perhatian. Enam pasukan tempatan menerima tentangan sengit wakil luar iaitu tiga kru Filipina dan wakil tunggal Indonesia.

“Harapan kami selaku penari berpengalaman pertandingan ini mampu mencungkil bakat selain memberi inspirasi kepada penari baru terus mengembangkan seni tarian ini,” katanya.

Ramai bakat penari hebat

Johan ‘Battle’ Solo Semmy Blank berkata bertemu dengan penari Malaysia satu pengalaman menarik buatnya. Melihat ramai muka baru dan berbakat nyata memberi gambaran Malaysia mempunyai penari hebat boleh membantu mematangkan tariannya.

“Sebenarnya bukan mudah hendak saya lepasi semua pencabar. Mereka semuanya penari baik dan mempunyai ‘kill move’ unik. Ini satu pertandingan setaraf dan tidak boleh bezakan antara penari lama mahupun baru kerana semuanya berbakat.

“Cumanya mungkin nasib saya dan juri tertarik dengan koreografi tampilkan. Malah sokongan penonton membuatkan persembahan saya menonjol di mata mereka. Apapun ia pertandingan yang saya akan sertai jika penganjur menjemput lagi pada masa akan datang,” katanya.

Tunai impian penari jalanan

Manakala wakil pemenang kategori berkumpulan, Erwin Cabarloc melahirkan penghargaan kepada penganjur kerana menyediakan platform seperti itu yang dapat merealisasikan impian penari jalanan berbakat beraksi dalam gelanggang tari sebenar.

“Ini kunjungan pertama Batang Mama ke Malaysia untuk sertai pertandingan. Membawa kami ke sini untuk berentap dengan bakat dari serantau semestinya satu pengalaman amat kami hargai kerana kami semua sangat cintakan tarian.

“Kami cuba lakukan sehabis baik untuk menghiburkan penonton di sini agar kenal kekuatan kami selain mahu pendedahan bersama penari luar yang boleh kami belajar bakat serta skil mereka. Kami berharap ada lagi peluang seperti ini pada tahun akan datang,” katanya.

Sokong komuniti tarian

Pengurus Klang Parade John Tam berkata melihat perkembangan tarian memberangsangkan kalangan anak muda sekitar Klang, pihaknya mengambil inisiatif menyokong komuniti itu.

“Tarian jalanan ini berkembang melangkaui masyarakat dan menariknya ia mempunyai aura dan cukup bertenaga apabila dipertontonkan. Menyedari impak unik dalam masyarakat tempatan terutama kalangan muda, kami teruja untuk menjadi sebahagiannya.

“Atas sebab itu juga kami gembira dan bangga menganjurkan kejohanan ini sekali gus menggalakkan lahirnya bakat muda untuk memeriahkan tarian itu terutama kalangan anak tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:03 AM