Kuala Lumpur: KUB Malaysia Bhd (KUB Malaysia) akan mengumumkan pelantikan baru jawatan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) seawal suku ketiga tahun ini bagi menggantikan Datuk Zainal Abidin Salleh yang akan meninggalkan syarikat itu pada akhir September depan.

Pengarah KUB Malaysia Tunku Alizan Raja Muhammad Alias berkata, syarikat buat masa ini sedang menyenarai pendek nama individu yang berkelayakan untuk dilantik sebagai CEO.

Katanya, nama yang tercalon itu nanti akan dicadangkan kepada lembaga pengarah bagi membuat keputusan muktamad.

“Kita kena buat secepat mungkin kerana aktiviti syarikat sedang berterusan dan syarikat bersikap terbuka sama ada untuk melantik mereka yang ada di dalam atau luar syarikat.

“Jika semuanya berjalan lancar, kita boleh umumkan CEO yang baharu sebelum akhir suku ketiga ini,” katanya kepada media pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran syarikat itu di sini.

Hadir sama, Pengarah KUB Malaysia Datuk Ab Rahim Abu Bakar dan Pengerusi A&W (Malaysia) Sdn Bhd Datuk Jamelah A Bakar.

Tunku Alizan berkata, paling penting adalah untuk memilih individu yang mempunyai pengalaman dalam mengendalikan perniagaan seperti KUB Malaysia yang memiliki banyak subsidiari.

Menurutnya, kriteria itu penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan KUB Malaysia yang pada masa ini tidak mempunyai ‘kapten’.

Beliau berkata, bagaimanapun keputusan dan persetujuan daripada pihak lembaga pengarah juga amat diperlukan untuk menentukan siapa CEO baru KUB Malaysia.

Pelantikan itu adalah sebagai menggantikan Zainal Abidin yang akan meletakkan jawatannya berkuat kuasa 30 September ini genap lima bulan selepas beliau dilantik sebagai CEO pada 17 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 7:26 AM