LIVERPOOL Red muncul juara selepas menang 4-2 ke atas Manchester United Red. FOTO SYAZWAN MSAR
LIVERPOOL Red muncul juara selepas menang 4-2 ke atas Manchester United Red. FOTO SYAZWAN MSAR
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Liverpool Red mengesahkan mereka lebih layak bergelar 'king of red' apabila membenam Manchester United Red 4-2 dalam perlawanan pertunjukan 'Battle of The Reds', sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu membariskan pemain veteran yang pernah beraksi bersama dua kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris (EPL) terbabit dengan dihadiri lebih 10,000 penyokong.

Pada awal babak permainan menyaksikan kedua-dua pasukan kerap mengatur serangan bagi mencari gol pembukaan perlawanan.

Liverpool Red yang dibarisi David James, Emile Heskey, Steve McManaman, John Arne Riise dan Luis Garcia terlebih dahulu berada di depan menerusi Djibril Cisse pada minit ke-16.

Kegembiraan Liverpool Red tidak bertahan lama apabila penyerang sensasi Manchester Red, Dimitar Berbatov menyamakan kedudukan selang satu minit kemudian untuk keputusan 1-1.

Danny Webber meletakkan Manchester Red mendahului perlawanan apabila tenang menyumbat gol kedua pada minit 38 untuk pasukannya mendahului 2-1.

Melihat situasi berkenaan, Liverpool Red menggandakan asakan sebelum berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi Cisse pada minit 45 selepas pasukannya dihadiahkan sepakan penalti.

Cisse memahat nama sebagai penjaring hatrik pada malam ini apabila sekali lagi menyudahkan peluang enam minit kemudian untuk Liverpool Red mendahului perlawanan 3-2.

Florent Sinama memastikan Liverpool Red menang bergaya di SNBJ apabila menyumbat gol keempat pada minit 76.

Kedudukan 4-2 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus memastikan 'Battle of The Reds' menjadi milik Liverpool Red.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 11:23 PM