BUTIK guna fabrik bermutu, tidak panas untuk keselesaan jemaah haji, umrah.
BUTIK guna fabrik bermutu, tidak panas untuk keselesaan jemaah haji, umrah.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Musim haji pasti membuatkan jemaah yang bakal dijemput menjadi tetamu Allah ke tanah suci bagi menunaikan rukun Islam kelima itu begitu teruja apatah lagi buat mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke sana.

Ketika ini, sudah pasti ramai antara mereka yang rancak membuat persiapan dari segi mental dan fizikal hinggalah kelengkapan yang diperlukan sepanjang melaksanakan ibadat itu.

Bagaimanapun, kelengkapan seperti pakaian bersesuaian dengan cuaca di negara itu juga perlu dititikberatkan bagi memberi keselesaan sepenuhnya agar jemaah dapat menunaikan ibadat dengan sempurna.

Justeru, butik kelengkapan haji dan umrah Hawwa Firdaus mahu setiap pelanggan yang membeli kelengkapan pakaian untuk menunaikan haji atau umrah benar-benar selesa, tapi masih menjaga aurat dengan sempurna.

Pemiliknya, Imaa Maz­lan, 29, berkata, sejak 2012 butiknya menghasilkan telekung Hawwa Litupi iaitu telekung yang mempunyai poket sorok berzip di bahagian dalam untuk memudahkan jemaah meletakkan sedikit duit, kayu sugi atau kunci semasa ke masjid.

“Idea telekung poket ini daripada ibu saya sendiri. Telekung yang ada poket di bahagian dalam ini direka ibu semasa kami menunaikan umrah pada tahun itu. Selain telekung itu, kami turut menghasilkan pelbagai barangan lain seperti mini telekung, tudung, jubah putih, stoking, kasut stoking Korea, seluar Aladdin dan pelbagai barangan lain.

“Untuk ibadah haji dan umrah, pilihan warna ialah putih, hitam dan warna gelap. Biasanya jemaah haji lebih gemar memakai pakaian berwarna putih. Bagi memastikan keselesaan ketika berada dalam cuaca panas, kami pastikan kualiti fabrik yang bermutu dan tidak panas seperti polycotton, lycra, jersey dan kapas.

“Ciri-ciri yang dititikberatkan juga pastinya rekaan yang praktikal dan selesa dipakai untuk beribadat dan juga sebagai pakaian harian,” katanya.

Menceritakan detik awal pembabitannya dalam bidang ini, Imaa bersama ahli keluarganya mengusahakan butik itu secara dalam talian sejak 2011. Idea menubuhkan butik itu tercetus selepas dia menjalani latihan praktikal dengan syarikat haji dan umrah.

Dari situ, anak jati Kedah itu mempelajari pelbagai aspek termasuk cara berniaga, keperluan atau fungsi setiap produk untuk jemaah dan cara berhadapan dengan pelanggan. Dia turut mengikuti kursus umrah dan haji untuk mengetahui dan menambah ilmu mengenai bidang ini.

“Sebelum tamat praktikal saya sudah mulai memasarkan produk di Internet menggunakan blog. Sambutan yang diterima amat menggalakkan bermula hanya dengan kawan-kawan ibu yang mencari barangan kelengkapan untuk umrah sehingga berkembang ke hari ini.

“Pelanggan Hawwa Firdaus ada dari Brunei, Singapura, Arab Saudi, Qatar dan juga beberapa negara yang lain. Kebanyakan permintaan daripada rakyat Malaysia yang menetap di luar negara. Pengalaman menarik apabila semasa mengerjakan umrah saya bertemu pelanggan yang tinggal di Madinah untuk menyerahkan barang yang dipesan,” katanya.

Koleksi Hawwa Firdaus boleh didapati dengan harga berpatutan tidak melebihi RM150.

Imaa berkata, dia kini merancang untuk menghasilkan jubah dan tudung yang praktikal dipakai bukan hanya di tanah suci, tetapi di mana saja serta rekaan berkualiti dengan harga yang berpatutan untuk jemaah.

“Saya gembira dengan perniagaan yang saya usahakan ini kerana dapat membantu jemaah dalam menyediakan keperluan ibadat mereka. Di samping itu, saya dapat berkenalan dengan ramai pelanggan dan ada yang sudah menjadi kawan baik walaupun tidak pernah bertemu, hanya berkomunikasi melalui Whatsapp dan Facebook,” katanya.

Koleksi kelengkapan haji dan umrah Hawwa Firdaus boleh didapati secara dalam talian menerusi blog www.kelengkapanhajidanumrah.blogspot.com atau melalui Facebook Hawwa Firdaus dan Instagram hawwafirdaus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:01 AM