TELEKUNG Lengan Arissa menggunakan material denim disertakan poket berzip.
TELEKUNG Lengan Arissa menggunakan material denim disertakan poket berzip.
Siti Zarinah Sahib


Menerima panggilan menunaikan umrah dan haji tentunya satu detik yang sangat mengujakan serta menyeronokkan. Sudah pasti penyediaan barangan keperluan menjadi agenda utama bagi memastikan urusan ibadat berjalan lancar sama ada di Makkah atau Madinah.

Kekurangan butik menyediakan semua kelengkapan dari hujung rambut hingga kaki menyebabkan bakal jemaah terpaksa berkunjung ke beberapa kedai atau pasar raya bagi memastikan pakaian ibadat disediakan lengkap sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Menyedari akan hal ini mendorong pemilik Zara Awliya, Faridah Hanom Samsudin menyediakan kelengkapan umrah dan haji di bawah satu bumbung, menerusi butik Zara Awliya yang terletak

di Seksyen 7 Shah Alam.

Menurut Faridah Hanom, pada masa sekarang peluang mengerjakan umrah sangat terbuka luas, lebih ramai individu berkunjung ke Tanah Suci disebabkan kemampuan semakin meningkat. Oleh itu keperluan jemaah juga harus ditingkatkan agar mereka tidak sukar mendapatkan keperluan ibadat dengan mencari di lokasi berbeza secara berulang kali.

"Saya sangat bersyukur kerana impian membuka butik kelengkapan umrah dan haji terlaksana juga. Butik ini bukan untuk meraih keuntungan berniaga semata-mata tetapi pada masa sama membantu dan memudahkan bakal jemaah menyediakan kelengkapan pakaian umrah dan haji.

Katanya, dengan adanya kelengkapan itu, ia memudahkan lebih ramai individu mendapatkan keperluan di bawah satu bumbung.

"Justeru, saya sentiasa memastikan telekung, kain ihram, kurta dan jubah disediakan dalam kualiti terbaik. Fabrik digunakan lembut, tidak panas, tahan lasak dan sesuai dengan iklim di Makkah dan Madinah," ujarnya ketika ditemui di Butik Pakaian & Kelengkapan Umrah Haji di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Tambahnya lagi, pihaknya juga menggabungkan kelengkapan umrah dan haji iaitu set Labaika iaitu set wanita terdiri daripada telekung mini berpoket, stoking aurat, stoking tawaf dan saie, stoking wuduk, uncang kasut, sarung lengan, beg telekung mini, semburan wuduk, tasbih digital dan sejadah mini. Manakala untuk lelaki pula disediakan kain ihram, tali pinggang ihram, semburan wuduk, tasbih digital dan sejadah mini.

"Telekung ditawarkan juga tampil berbeza, misalnya set telekung premium Safiyyah daripada fabrik kapas Jepun lembut yang sejuk dan dijahit poket, sesuai untuk umrah dan haji atau dihadiahkan kepada keluarga, rakan-rakan atau sebagai hantaran.

"Pelapik dagu menggunakan fabrik mudah regang dan sesuai untuk semua saiz muka. Malah menambah keunikan apabila terdapat pilihan kemasan renda Perancis atau kapas renda di kepala dengan rekaan klasik atau moden," katanya.

Selain itu, butik ini juga menawarkan telekung mini Medina untuk kegunaan ketika menunaikan tawaf dan ziarah disertakan poket tersembunyi berzip bagi memudahkan jemaah menyimpan duit, kunci hotel, pasport dan telefon bimbit.

Begitu juga Telekung Lengan Arissa disertakan poket berzip bagi mengelak lengan tersingkap ketika melontar jamrah. Semua produk ditawarkan pada harga berpatutan bermula di antara RM20 hingga RM200.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 1:35 PM