Audrey, 34, (bukan nama sebenar) dan suaminya, David, 39, (bukan nama sebenar) sudah berkahwin hampir enam tahun, namun setiap hari yang berlalu membuatkan kedua-duanya sedih kerana masih tidak dikurniakan zuriat.

Melihat anak rakan dan saudara-mara yang semakin membesar, menguatkan lagi keinginan pasangan yang bekerja sebagai pegawai bank itu untuk mendapatkan rawatan pakar kesuburan.

Pada mulanya, mereka mencuba secara semula jadi, namun menjelang usia perkahwinan enam tahun, pasangan berkenaan membuat keputusan mencuba cara rawatan moden iaitu permanian beradas (intrauterine insemination - IUI) sekitar 2012 di sebuah pusat perubatan kesuburan swasta tetapi gagal.

Mereka bersyukur apabila seorang rakan mencadangkan bertemu dengan pakar kesuburan, Dr Mathi Arasu Muthusamy, di klinik kesuburan Fertility Associates Malaysia.

David berkata, mereka gembira bertemu doktor yang memahami masalah dihadapi dan tidak terus mencadangkan kaedah kesuburan agresif, sebaliknya mengambil langkah sedikit demi sedikit bagi membantu pasangan itu bersedia dari segi mental dan emosi.

Katanya, pada peringkat awal, mereka diajak melakukan teknik IUI sekali lagi kerana ia kaedah mudah, murah dan tidak membebankan emosi.

“Apabila IUI sekali lagi tidak berjaya, kami terus dicadangkan teknik IVF (persenyawaan in-vitro). Lebih menggembirakan kami apabila pertama kali menjalaninya, isteri saya disahkan hamil.

“Memang kami tahu mengenai IVF, tetapi tidak betul-betul memahaminya sehinggalah menjalani rawatan kesuburan itu.

“Lebih mengejutkan apabila isteri disahkan mengandung anak kembar. Pada awalnya dua embrio dimasukkan ke dalam rahim isteri, tetapi satu tidak menjadi namun satu embrio yang menjadi itu terbahagi pula kepada dua dan kini kami memiliki sepasang kembar perempuan seiras,” katanya yang menyambut kelahiran anaknya pada Mei baru-baru ini.

Sementara itu, Audrey berkata, biarpun IVF adalah rawatan kesuburan yang agresif kerana perlu menyuntik dirinya setiap hari dengan ubatan kesuburan, tetapi dia tidak rasa tertekan kerana sentiasa mendapat nasihat dan tip daripada doktor.

Katanya, pemikiran yang sentiasa positif selain bersedia menghadapi apa saja demi mendapatkan zuriat, membuatkan dia tabah dan rasa gembira sepanjang proses IVF sehinggalah selamat melahirkan anaknya.

“Selama menjalani IVF, saya mengalami perubahan fizikal selain alahan ketika mengandung, namun motivasi yang diberikan doktor dan suami, serta pemeriksaan berkala membuatkan saya rasa kuat menjalani proses berkenaan.

“Doktor juga memainkan peranan penting kerana tidak mendesak proses menjadi agresif sebaliknya melakukannya secara perlahan-lahan, membuatkan emosi saya tidak terganggu.

“Suami memahami dan banyak memberi sokongan dan perhatian. Setiap kali berlalu tempoh sebulan, saya berasa semakin gembira kerana proses berkenaan menjadi semakin pendek,” katanya.

Audrey berkata, dia cuba menjalani kehidupan normal seperti biasa biarpun mengalami alahan dan tidak terperap di rumah kerana doktor menyarankan supaya jangan terlalu ‘manja’ untuk mengelak berlaku keguguran.

Perasaan tertekan juga ditolak jauh ke tepi, sebaliknya dia hanya memikirkan perkara positif dan bersikap sabar dalam berhadapan dengan cabaran mengandung.

“Pemikiran positif amat penting kerana badan akan mengeluarkan pelbagai hormon untuk melindungi bayi.

“Disebabkan itulah, doktor menyarankan saya tidak terlalu risau dengan bersikap berhati-hati secara melampau, sebaliknya menjalani kehidupan normal seperti biasa,” katanya.

Menurut mereka, kemungkinan masalah kesuburan yang dihadapi berpunca daripada faktor tekanan di tempat kerja, namun ia bukan faktor utama yang boleh menggang­gu kesuburan.

Mereka juga enggan tunggu lama kerana umur yang semakin meningkat, apatah lagi tidak mahu kusut memikirkan perkara itu, lalu mengambil keputusan pantas mendapatkan bantuan pakar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 5:00 AM