JIKA kandungan gula dalam darah tidak dikawal, ia berisiko menyebabkan bayi dikandung mengalami keguguran.  - FOTO Pexels
JIKA kandungan gula dalam darah tidak dikawal, ia berisiko menyebabkan bayi dikandung mengalami keguguran. - FOTO Pexels
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Pasangan yang merancang mendapatkan zuriat perlu mengawal kandungan gula dalam darah kerana ia boleh memberi risiko kepada bayi.

Pakar Fertiliti, Pusat Kesuburan Sophea (Sophea), Dr Noor Shaheeran Abdul Hayi berkata, jika kandungan gula dalam darah tidak dikawal, ia berisiko menyebabkan bayi dikandung mengalami keguguran.

Kata Dr Noor Shaheeran, profil gula dalam darah (BSP) normal untuk wanita hamil sebelum makan adalah kurang daripada: 5.1 mmol/L dan 7.8 mmol/L selepas makan.

"Selain dari risiko keguguran, kandungan gula yang tinggi dalam darah si ibu juga boleh menyebabkan bayi tidak dapat membentuk dengan normal.

"Keabnormalan itu boleh dikesan ketika menjalani ujian imbasan pada usia kandungan antara lima hingga enam bulan.

"Justeru, adalah penting bagi wanita untuk mengawal kandungan gula dan menjaga kesihatan sebelum cuba mendapatkan zuriat," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut Dr Noor Shaheeran berkata, rawatan kesuburan sepatutnya perlu dilakukan selepas setahun berkahwin sekiranya tidak mempunyai masalah kesihatan.

Andai si isteri berusia lebih 35 tahun atau mempunyai masalah kesihatan seperti Sindrom Ovari Polisistik (PCOS), fibroid, endometriosis, cyst atau sejarah pembedahan ginekologi, pemeriksaan kesuburan perlu dilakukan selepas enam bulan perkahwinan.

Ini kerana usia wanita berkait rapat dengan kadar kesuburan dan faktor usia juga adalah penentu utama bagi kejayaan rawatan kesuburan kerana usia telur wanita adalah sama dengan usianya sendiri.

Kata Dr Noor Shaheeran, terdapat pelbagai rawatan kesuburan yang boleh dicuba bergantung kepada kesesuaian dan pilihan pasangan itu sendiri.

Namun sebelum itu, saringan pemeriksaan kesuburan perlu dilakukan dan prosesnya tidak sesukar mana jika mendapat kerjasama kedua-dua belah pihak (suami dan isteri).

"Proses saringan pemeriksaan kesuburan dilakukan pada hari kedua kitaran haid si isteri dan sampel darah akan diambil untuk ujian makmal.

"Selain itu, sampel sperma suami juga akan diambil dan jika semuanya tiada masalah, rawatan kesuburan boleh dimulakan pada bulan berikutnya.

"Jenis kaedah rawatan kesuburan pula akan ditentukan pasangan terbabit dengan saranan yang sesuai dan terbaik dari pihak doktor," katanya.

KEABNORMALAN boleh dikesan ketika menjalani ujian imbasan ketika usia kandungan antara lima hingga enam bulan. - FOTO Amirudin Sahib
KEABNORMALAN boleh dikesan ketika menjalani ujian imbasan ketika usia kandungan antara lima hingga enam bulan. - FOTO Amirudin Sahib

SPESIMEN dialihkan daripada tangki penyimpanan di makmal. - FOTO Amirudin Sahib
SPESIMEN dialihkan daripada tangki penyimpanan di makmal. - FOTO Amirudin Sahib

EMBRIOLOGIS memeriksa kualiti embrio menerusi mikroskop. - FOTO Amirudin Sahib
EMBRIOLOGIS memeriksa kualiti embrio menerusi mikroskop. - FOTO Amirudin Sahib

Menurut Dr Noor Shaheeran lagi, dua kaedah rawatan kesuburan yang biasa dan boleh digunakan oleh wanita Islam ialah Inseminasi Intrauterine (Intrauterine Insemination - IUI) dan persenyawaan in vitro (In Vitro Fertilization - IVF).

Katanya, pakej rawatan IUI biasanya bermula daripada RM2,000 manakala IVF pula bermula RM14,000.

"Pakej IVF lebih mahal kerana ia memerlukan lebih banyak prosedur dan kos ubat-ubatan yang digunakan juga lebih mahal.

"Namun, kejayaan kaedah rawatan IVF juga lebih tinggi iaitu antara 50 hingga 60 peratus berbanding IUI iaitu 15 hingga 20 peratus," katanya.

Dalam pada itu, tidak dinafikan ada pasangan yang teruja merancang untuk mendapatkan anak kembar menerusi kaedah IVF.

Bagaimanapun, kata Dr Noor Shaheeran, menerusi kaedah IVF, pasangan tidak digalakkan untuk memilih mengandungkan anak kembar kerana ia boleh mendatangkan risiko kesihatan baik kepada si ibu mahu pun bayi yang dikandung.

"Selain itu, risiko keguguran dan kelahiran bayi pramatang juga lebih tinggi jika memilih untuk mendapatkan anak kembar.

"Biasanya kami menasihatkan pasangan yang mahu mendapatkan zuriat pertama mereka melalui kaedah IVF supaya cuba untuk mendapatkan seorang anak dahulu berbanding zuriat kembar kerana apa yang penting adalah kesihatan dan keselamatan si ibu serta bayi yang ditunggu," katanya.

Sementara itu, selain rawatan kesuburan, Sophea turut menawarkan rawatan lain berkait rapat dengan kesuburan dan kelahiran anak yang sihat seperti penyimpanan tisu ovari, telur, sperma dan embrio, menggunakan teknologi perubatan terkini selaras dengan kaedah piawaian antarabangsa.

Pusat Kesuburan itu turut menyediakan perkhidmatan pembedahan pemulihan air mani, pemeriksaan genetik, analisa penerimaan endometrium, rawatan ginekologi, penjagaan antenatal, perkhidmatan kaunseling dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 7:00 AM