Oleh Asrol Awang

Kuantan: Dua gol daripada penyerang berbisa Dickson Nwakaeme (gambar kiri) membantu Pahang mengungguli takhta Liga Super hasil kemenangan 2-0 ke atas ATM di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Kemenangan hasil sentuhan pemain dari Nigeria itu membantu Pahang mengutip 39 mata ketika ATM terus pulang hampa dengan kekalahan kedua berturut-turut.

Aksi mantap dipersembahkan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu sudah dapat dijangka. Ia bermula seawal minit ke-11 menerusi tandukan Matias Conti tetapi tandukan penyerang berasal dari Argentina itu tersasar ketika penjaga gol ATM, Md Hafizuddin Azuhar sudah tertewas.

Namun, tiga minit kemudian, hantaran silang pemain tengah Pahang, R Gopinathan memastikan Nwakaeme mudah menolak masuk untuk Pahang mendahului lawan 1-0.

Nwakaeme menambah gol kedua m-34 bagi meletakkan tuan rumah selesa untuk menambah tekanan ATM.

Peluang terbaik pelawat untuk merapatkan jurang gol menerusi Jerry Palacius Suazo tetapi penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Khalid berjaya menepis keluar percubaan penyerang itu pada m-40.

Pahang yang mengidam tiga mata berusaha menambah jaringan namun percubaan Conti m-54 hampir menjaringkan gol ketiga apabila tandukannya sedikit tersasar di sebelah kiri tiang gol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 8:42 AM