Bangkok: Pilihan raya umum Thailand mungkin ditangguhkan sehingga April 2017 sekiranya draf perlembagaan baru ditolak dewan perubahan kebangsaan yang bersidang bulan depan.

Kerajaan tentera yang berkuasa sejak rampasan kuasa tahun lalu sebelum ini mahu pilihan raya diadakan bagi memilih kerajaan baru pada akhir 2015.

Bagaimanapun, kerajaan berkata, pilihan raya mungkin ditangguhkan sehingga 2016 bagi memberi lebih masa untuk membuat perubahan yang diharap dapat meningkatkan kestabilan.

Amerika Syarikat dan negara sekutu lain mendesak demokrasi dipulihkan segera tetapi Timbalan Perdana Menteri Thailand, Wissanu Krea-ngam memberitahu, kemungkinan pilihan raya terpaksa ditangguhkan lebih lama.

“Sekiranya draf perlembagaan ditolak dewan, draf perlembagaan baru mesti dibuat semula dan diikuti dengan satu referendum jika ia diluluskan.

Keadaan ini akan menyebabkan pilihan raya umum mungkin ditangguhkan selama 19 bulan,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, sekiranya draf itu diluluskan, ia akan disahkan melalui satu pungutan suara yang mungkin diadakan pada 10 Januari depan, diikuti pilihan raya umum pada September 2016. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 10:51 AM