Iloilo: Tentera Filipina menahan setiausaha kumpulan pemberontak komunis dalam satu serbuan di sebuah rumah di bandar ini, kelmarin.

Maria Concepcion Araneta-Bocala yang juga ahli jawatan kuasa pusat Parti Komunis Filipina (CPP) antara pemimpin terbaru yang ditahan atau dibunuh.

Ia sekali gus memberi tamparan hebat terhadap pemberontakan kumpulan itu, yang paling lama di dunia.

Jurucakap tentera Noel Detoyato berkata, Maria ditahan di sebuah rumah di Iloilo di Pulau Panay oleh sepasukan unit tentera dan polis.

Turut dirampas, dua pistol dan bom tangan.

Tentera mengenal pasti Maria sebagai setiausaha yang menguasai kumpulan pemberontak bersenjata Rakyat Baru (NPA) di Pulau Panay yang mempunyai empat juta penduduk.

“Penahanan Maria menyebabkan wujud kelompangan kepemimpinan dalam CPP.

“Sayap bersenjatanya NPA terjejas teruk dengan kejayaan pihak berkuasa sebelum ini,” katanya.

Menurut Detoyato, kejayaan itu hasil risikan selama beberapa bulan.

Menurutnya, Maria berdepan dengan tuduhan membunuh dan memberontak. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 10:55 AM