ANGGOTA kumpulan NPA berkumpul di satu lokasi di Filipina. - Agensi
ANGGOTA kumpulan NPA berkumpul di satu lokasi di Filipina. - Agensi

Manila: Gerila komunis tidak akan menyerahkan senjata walaupun perjanjian damai dicapai dengan kerajaan pimpinan Presiden Rodrigo Duterte, kata ketua perunding kumpulan itu semalam.

Manila dan pemberontak berkenaan mengisytiharkan gencatan senjata sementara di Oslo bulan lalu, sebahagian daripada persetujuan untuk mempercepatkan usaha menamatkan konflik yang sudah berlarutan selama lima dekad dan meragut lebih 40,000 nyawa.

Ketua perunding Barisan Demokratik Kebangsaan, Luis Jalandoni berkata, sayap bersenjata kumpulan itu, Tentera Rakyat Baru (NPA) tidak bersetuju untuk meletakkan senjata.

“Kami berpendapat NPA tidak patut dilucutkan senjata atau senjata mereka diserahkan untuk dimusnahkan,” katanya kepada wartawan di Manila.

Sementara itu, seorang jeneral tentera Filipina berkata, pendirian kumpulan pemberontak berkenaan boleh menyebabkan perjanjian damai tidak dicapai.

“Saudara kami dari Barisan Pembebasan Islam Moro bersetuju menyerahkan senjata dan membubarkan tentera mereka menerusi perjanjian damai. Mengapa NPA tidak boleh berbuat demikian,” tegasnya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 9:01 AM