Madrid: Cristiano Ronaldo memburu satu lagi rekod penjaring terbanyak Liga Juara-Juara sepanjang zaman apabila Real Madrid turun melayani kunjungan pasukan yang kurang tahap keyakinan, Liverpool di Santiago Bernabeu, awal pagi esok.

Jaringan pembukaan Ronaldo untuk juara Eropah berkenaan ketika kemenangan 3-0 di Anfield dua minggu lalu menyebabkan dia hanya kekurangan satu gol berbanding legenda Real, Raul yang meledak 71 gol Liga Juara-Juara.

Kemenangan ke-12 berturut-turut dalam semua kejohanan membolehkan Real memastikan tempat ke pusingan kedua ketika saingan berbaki dua perlawanan dalam Kumpulan B.

Liverpool terikat dengan juara Switzerland, Basel dan kelab yang tampil buat kali pertama di Liga Juara-Juara Ludogorets Razgrad bersaing untuk kedudukan kedua dengan tiga mata.

Walaupun mengalami kekalahan keenam musim ini kepada Newcastle United pada Sabtu, pengurus Liverpool Brendan Rodgers menegaskan anak buahnya tidak akan terjejas dengan tugas yang menanti mereka.

"Kami bekerja keras beberapa tahun lalu untuk mencapai tahap ini," katanya.

"Menentang Real di Bernabeu tidak boleh sekadar OK. Namun sudah tentu kami berada dalam fasa peralihan. Kami mahu menjadi lebih baik. Aksi pada Selasa (awal pagi esok) amat bermakna untuk kami.

"Kami masih mempunyai kumpulan pemain berkualiti, sesuatu yang objektif. Tugas ini amat besar kerana menentang pasukan terbaik dunia ketika ini.

"Namun kami akan tampil dengan keyakinan. Pemain akan bangkit selepas keputusan perlawanan Sabtu dan kami akan turun dengan sasaran meraih sesuatu."

Prestasi sebaliknya dilakar Real yang melonjak ke kedudukan teratas La Liga buat kali pertama musim ini selepas membelasah Granada 4-0 pada Sabtu, menjaringkan 46 gol dalam 11 perlawanan berturut-turut dimenangi mereka.

"Kami perlu meneruskan rentak ini dan sangat gembira dengan cara kami beraksi. Kami berada pada prestasi luar biasa," kata pemain tengah Luka Modric.

"Kami mahu selesa dalam perlawanan dan bermain dengan baik menentang Granada sejak sepak mula. Pasukan mahukan lebih lagi dan lebih banyak jaringan."

Rakan Modric di bahagian tengah, Toni Kroos berhak diberikan pujian kerana gandingan mereka mengubah nasib Real selepas beberapa minggu yang tidak menentu susulan penjualan Xabi Alonso dan Angel di Maria.

"Alonso pemain yang hebat untuk kami, namun Kroos dan saya mempamerkan peningkatan pada setiap perlawanan," tambah pemain Croatia itu.

"Kami semakin mengenali satu sama lain dan sedar apa yang perlu dilakukan dalam padang. Saya fikir kami bermain dengan baik secara bertahan."

Tuan rumah turut diperkuat dengan kembalinya Gareth Bale selepas tersisih lima perlawanan kerana kecederaan otot pelvik.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:00 AM