Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

 

Johor Bahru: Juruteknik Syarikat Air Johor (SAJ) Holding Sdn Bhd cawangan Kota Tinggi dipenjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan menerima rasuah RM2,000 bagi meluluskan ujian perpaipan projek pembangunan perumahan, tahun lalu.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Umi Hazren Ahmad, 35, mengaku bersalah bagi pertuduhan terbabit.

Dia yang juga ibu tunggal didakwa menerima rasuah itu daripada kontraktor, Muhammad Yusri Jamalludin di hadapan Pusat Bahasa Bestari Maju, Kota Tinggi, kira-kira 5.30 petang, 3 April lalu.

Perbuatan dilakukan tertuduh itu sebagai dorongan untuk melaksana dan meluluskan ujian perpaipan Projek Pembangunan Perumahan Tersusun Kampung Tuan Seh, Mukim Sedili Besar, Kota Tinggi.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 10:00 AM