Oleh Erywan Norshal


Sebelum kehadiran fenomena budaya 'Street Cub', motosikal kapcai menerusi Honda C70 dianggap tidak bernilai kerana ada yang membiarkannya tersadai di belakang rumah dan kelihatan 'uzur' akibat dijemur panas serta hujan.

Namun sejak dua tahun kebelakangan ini, jentera dua roda itu dianggap berharga berikutan peminat 'Street Cub' yang mahu mengubah suai motosikal berkenaan mengikut kreativiti masing-masing.

Budaya 'Street Cub' boleh dianggap baru di negara ini, namun fenomena itu berkembang dan hampir setaraf dengan modifikasi antarabangsa seperti di Indonesia, Thailand dan Jepun.

Dalam ruangan Modifikasi minggu ini, jentera dua roda konsep 'Street Cub' milik Mohd Zikri Abd Aziz, 26, dicipta hasil tangannya dalam tempoh tiga bulan.

Dia menghabiskan masa selepas pulang daripada kerja untuk menyiapkan kenderaan itu dan dijadikan hobi mengisi masa lapang.

Menurut Mohd Zikri, pada peringkat pertama, semua komponen motosikal itu dileraikan bagi memudahkan proses modifikasi dilakukan dengan mudah.

"Bagi kerangkanya, bahagian belakang akan dipotong, kemudian diketuk untuk menjadikan lebih lebar supaya boleh memuat­kan rim dan tayar bersaiz lebih besar.

"Bagi pemegangnya pula, jentera ini menggunakan pemegang basikal, selain dipasangkan de­ngan sistem brek cakera bersaiz besar daripada Kawasaki KL150," katanya.

Menurutnya, sistem pencahayaan jentera ini pula menggunakan lampu motosikal kategori 'hypermotard' yang dipasangkan pada bahagian depan dan isyarat belakang.

Katanya, bagi memberi impak sebuah jentera 'Street Cub', Honda C70 itu dipasangkan dengan rim aloi Racing Boy berlebar 3.0 inci untuk bahagian depan, manakala belakang menggunakan 3.5 inci.

"Rim aloi itu disambungkan dengan jejari tahan karat krom serta dibaluti tayar berjenama Duro serta diserlahkan lagi dengan padanan tempat duduk tunggal yang direka khas bagi memudahkan membuka tangki untuk mengisi minyak.

"Meter kelajuan turut diletakkan di bahagian tengah pemegang bagi memudahkan memantau prestasi jentera ini," katanya.

Mohd Faizal berkata, enjin asal ditukar menggunakan komponen Honda EX5 yang mempunyai empat kelajuan, selain melakukan pengubahsuaian serta menukar barangan berprestasi seperti silinder, omboh dan injap untuk memberi tindak balas terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:00 AM