RUANG enjin diperkemas, guna konsep tanpa wayar.
RUANG enjin diperkemas, guna konsep tanpa wayar.
Oleh Erywan Norshal


“Saya membeli Toyota Starlet KP60 ini berharga RM1,000, tetapi kos pengubahsuaiannya pula mencecah 20 kali ganda dengan mengambil masa hampir dua tahun,” kata Mohd Syahril Jamaluddin, 32.

Menurutnya, beliau rasa bertuah kerana membeli kereta itu dengan harga yang sangat rendah sehingga boleh menggunakan wang selebihnya untuk menyiapkan kereta projek terbabit.

Katanya, kereta kompak buatan 1979 itu mengalami proses modifikasi mengikut konsep jentera perlumbaan TS-Cup yang popular pada era 1980-an.

“Jentera ini menggunakan kit badan penuh TRD N2 TS-Cup bagi keseluruhan badannya yang nyata tampak lebih sporty berbanding varian standard.

“Kit badan itu menggunakan material kaca gentian, kecuali spoiler belakang dibina khas bahan besi.

“Mahu memberi impak jentera perlumbaan, saya mewarnakan ia dengan putih, selain dipenuhi pelekat kuning dan merah dengan tema produk minyak Shell,” katanya.

Mohd Syahril berkata, bagi mengekalkan imej jentera perlumbaan, semua komponen dalaman diminimumkan dengan membuang pelapik, pelindung pintu dalam serta tempat duduk belakang.

Katanya, ruang dalamannya hanya ‘dihiasi’ tempat duduk Recaro Fishnet, stereng Starlet KP60, tombol gear TRD, pemasa turbo Apexi dengan lampu amaran pertukaran gear.

Menurutnya, jentera itu masih menggunakan enjin asal tetapi ditala semula untuk meningkatkan prestasi dengan menukar beberapa komponen seperti karburator Weber DGAV 32/36.

“Ruang enjin ini diperkemaskan lagi dengan menggunakan konsep tanpa wayar, selain bateri diletak di bahagian belakang.

“Selain prestasi mantap, sistem pengendalian dipertingkatkan apabila ia direndahkan dengan menggunakan suspensi ditempah khas serta padanan tayar lebar 8 jj bersaiz 13 inci,”katanya.

SPESIFIKASI:

Kos modifikasi:

- RM20,000

Ubah suai luaran:

- Kit badan penuh TRD N2 TS-Cup

- Pelekat ditempah khas ala minyak Shell

- Spoiler tempahan khas menggunakan kepingan besi

Ubah suai dalaman:

- Kerusi Recaro Fishnet

- Tombol gear TRD

- Stereng asal Toyota Starlet KP60

- Pemasa turbo Apexi

Rim dan tayar:

- Rim JRD 8 jj 13 inci

- Tayar Silverstone

Suspensi:

- Tempahan khas

Bengkel:

- Pusat Servis Bengkel Yusof

- Manmin Outo Color

- Ramco Auto Work

- Kacak Embun Pte Ltd

- Zokusha Sticker

Kelab:

- Kelab Kereta Lama Olskool Starlet Kamben

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:05 AM