HONDA Integra Type R.
HONDA Integra Type R.
Oleh Erywan Norshal

Peminat tegar kereta jenama Honda tentu mengenali produk talaan berprestasi Mugen yang diasaskan oleh Hirotoshi Honda, iaitu anak kepada pengasas Honda Motor Company.

Setiap kereta keluaran Honda pasti ada produk talaan Mugen ditawarkan, menjadikan aksesori tambahan itu membuatkan kenderaan lebih garang dan berani.

Bagaimanapun, produk itu boleh dikatakan dijual pada harga tinggi dan menjadi kepuasan kepada pemiliknya jika menghiasi kenderaan kesayangan mereka.

Itu yang berlaku kepada pemilik Honda Integra Type R DC5, Mazlianto Alias, 34, dari Terengganu yang sudi menghiasi ruangan Modifikasi minggu ini.

Honda Integra keluaran 2003 itu seolah-olah menjadi kenderaan konsep Mugen selepas dipenuhi aksesori Mugen R Factory asli yang dibeli melalui laman sesawang di negara matahari terbit.

Penampilannya sedikit berbeza selepas kit badan termasuk bampar, bonet, aksesori tepi dan belakang membuatkan ia tampak lebih garang.

Tidak cukup dengan itu, rim bersaiz 17 itu turut menggunakan jenama Mugen MF10 yang dibaluti tayar berprestasi Yokohama Advan Neova dan direndahkan suspensi boleh laras Tein.

Bagi mengekalkan aerodinamiknya, jentera itu menggunakan spoiler GT Mugen yang memberi kestabilan ketika memandu dalam kelajuan tinggi.

Jika menjenguk ke dalam ruang kabin, pemiliknya masih mengekalkan komponen asal, cuma menukar tempat duduk 'bucket' Mugen S1R, stereng Mugen, meter bantuan Mugen untuk menunjukkan bacaan suhu dan tekanan minyak.

Selain luaran dan dalaman, ruang enjin juga tidak ketinggalan untuk ditingkatkan supaya mencecah kuasa maksimum sehingga 242 kuasa kuda (hp) dengan tork setinggi 215 Nm.

Enjin K20A itu dilimpahi pelbagai komponen berprestasi pelbagai jenama membabitkan 'crank pulley' Toda, aci Toda, 'intake' Skunk2 dan pendikit badan Skunk2 74 milimeter.

Pembakaran dalam kebuk enjin itu disalurkan ke sistem ekzos Skunk2 4-1 yang menghasilkan bunyi bertenaga pada putaran perminit (RPM) tinggi.

Kuasa hentiannya pula ditukar cakera brek Project U '2-piece' dengan angkup monoblok Spoon untuk memberi cengkaman lebih baik.

Kos menyiapkan projek mengubah suai itu boleh dikatakan sangat tinggi kerana pemiliknya terpaksa berbelanja hampir RM100,000 untuk tujuan itu.

INFO

KOS:RM100,000

UBAH SUAI LUARAN:

- Kit badan Mugen

- Bampar Mugen

- Aksesori tepi Mugen

- Bibir belakang Mugen

- Spoiler GT Mugen

UBAH SUAI DALAMAN:

- Tempat duduk 'bucket' S1R Mugen

- Meter Bantuan Mugen

- Stereng Mugen

- Hondata KPro

UBAH SUAI ENJIN:

- Aci A3 Toda

- 'Crank pulley' Toda

- K Tuned penyuntik bahan api

- Skunk2 Intake

- Pendikit badan Skunk2 74 mm

Grouppem

Skunk2 ekzos 4-1

K Tuned pelindung palam pencucuh

RIM DAN TAYAR:

- Rim 17 inci Mugen MF10

- Yokohama Advan Neova

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:01 AM