FIRDAUS sedang menyiapkan motosikal Street Cub ditempah pelanggannya.
FIRDAUS sedang menyiapkan motosikal Street Cub ditempah pelanggannya.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli


Chukai: Seorang pemuda dari Kampung Gong Limau di sini, dianggap kreatif apabila mampu mengubah motosikal model Honda C70 menjadi motosikal unik yang dipanggil ‘Street Cub’.

Kepakaran dan kreativiti Firdaus Mohd, 30, mengubah suai motosikal buruk menyebabkan bengkel miliknya kerap dikunjungi pelanggan sejak tiga tahun lalu.

Firdaus berkata, sehingga kini dia mengubah suai empat kenderaan itu yang terbiar menjadi motosikal Street Cub yang kini menjadi fenomena dalam kalangan peminat motosikal klasik.

“Kos diperlukan untuk mengubah suai motosikal biasa menjadi ‘Street Cub’ adalah sebanyak RM3,000 hingga RM3,500 untuk asas.

“Tetapi jika ingin kelihatan lebih menarik dengan pelbagai aksesori menarik pelanggan memerlukan modal sehingga RM5,000 hingga RM10,000,” katanya.

Menurutnya, dia mengambil masa selama empat minggu untuk menyiapkan sebuah motosikal itu bergantung kepada model dan aksesori yang dikehendaki pemiliknya.

“Semua aksesorinya saya beli dari Thailand dan ia semestinya mempunyai kualiti yang paling baik bagi memastikan motosikal itu menarik.

“Mungkin ramai yang beranggapan, membina motosikal ‘Street Cub’ mudah, namun ramai yang gagal menghasilkan motosikal berkualiti,” katanya yang juga Presiden Street Cub dan Classic Kemaman (SCCK).

Menurutnya, motosikal yang dihasilkannya sebelum ini juga beberapa kali menjadi juara pertandingan autoshow yang dianjurkan di Kuantan dan Kemaman.

“Terbaru motosikal yang saya hasilkan diberi nama ‘Manggo Steem’ menjadi juara di Pertandingan Street Cub Terbuka Kemaman.

“Saya terbabit dengan kegiatan itu bukan semata-mata kerana ia mampu menjana pendapatan tetapi kepuasan mencipta motosikal Street Cub mengikut kreativiti sendiri,” katanya.

Menyedari peminat dan pemilik motosikal itu semakin meningkat mendorong dia dan beberapa rakan lain menubuhkan SCCK seterusnya menganjurkan pelbagai program termasuk konvoi selain menyertai Golok Bike Week di Thailand dan Perhimpunan Street Cub di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:14 AM