GIBSON dengan rangka tingkap pesawat itu.
GIBSON dengan rangka tingkap pesawat itu.

London: Seorang lelaki terkejut apabila bingkai tingkap sebuah pesawat jatuh ke atas ribanya ketika kapal terbang dinaikinya mendarat di Lapangan Terbang Stansted London, kelmarin.

Laurence Gibson, pembantu guru berusia 37 tahun berkata, dia trauma akibat kejadian berkenaan.

Dia yang pulang selepas bercuti selama seminggu di Gdansk, Poland bersama rakannya Matt berkata: “Ia kejadian paling menakutkan dalam hidup saya.

“Saya memang takut naik kapal terbang, lebih-lebih lagi ketika ia mendarat. Kejadian itu memburukkan lagi keadaan. Sebaik pesawat mendarat, bingkai tingkap itu jatuh ke atas riba saya,” katanya.

Gibson membeli tiket untuk penerbangan ulang alik ke Poland menerusi Ryanair.

Bagaimanapun, pesawat itu dikendalikan oleh Air Explore.

“Pesawat itu agak buruk berbanding standard biasa kapal terbang Ryanair. Bagaimanapun, kakitangannya baik dan mereka tidak putus-putus meminta maaf,” kata Gibson.

Seorang jurucakap Ryanair mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, mereka meminta Air Explore menyiasat bagaimana ia boleh berlaku. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 6:53 AM