GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO AFP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO AFP
Agensi

Rom: Mogok dilakukan kakitangan lapangan terbang dan syarikat penerbangan menyebabkan ratusan penerbangan dan ratusan ribu pelancong terkandas di Eropah pada kemuncak musim panas yang sibuk.

Di Itali, kira-kira 1,000 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan akibat mogok dilakukan kakitangan, menurut pihak berkuasa lapangan terbang dan syarikat penerbangan.

Pada masa sama, sebanyak 120 lagi penerbangan yang sepatutnya berlepas dan tiba dari Lapangan Terbang Charleroi Belgium dibatalkan kelmarin dan semalam akibat mogok pemberhentian juruterbang syarikat tambang murah, Ryanair.

Selain itu, pekerja Lapangan Terbang Gatwick mogok selama lapan hari sepanjang musim panas berturut-turut.

Mogok di Itali saja menyebabkan 250,000 pelancong terkandas di salah satu tempat pelancongan utama dunia.

Ia berlaku di tengah-tengah rekod gelombang haba yang disifatkan jabatan cuaca negara sebagai salah satu paling sengit pernah direkodkan.

Dilaporkan, sekurang-kurangnya suhu Rom mencecah 40 darjah Celsius serta 48 C di pulau Sicily dan Sardinia.

Mogok dilakukan kru darat, yang menuntut kontrak kolektif baharu enam tahun selepas kontrak sebelumnya tamat, dijangka berlangsung dari 10 pagi hingga 6 petang waktu tempatan.

Pihak berkuasa mengesahkan, Lapangan Terbang di Rom juga membatalkan 200 penerbangan.

Penerbangan Malta Air, yang mengendalikan pemindahan untuk Ryanair dan syarikat penerbangan tambang murah Vueling dan Ita Airways, turut terjejas selepas juruterbang menyertai mogok itu.

Kira-kira 150 penerbangan di Lapangan Terbang Milan dibatalkan manakala puluhan lagi dibatalkan di Turin dan Palermo.

Menteri pengangkutan, Matteo Salvini menyeru, mereka yang menyertai mogok itu menggunakan akal waras supaya tidak membahayakan jutaan pekerja dan pelancong lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 12:48 PM