LAPANGAN Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila. FOTO AFP
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila. FOTO AFP
Agensi

Manila: Filipina mengeluarkan perintah larangan memasuki negaranya seumur hidup kepada seorang warga Amerika Syarikat (AS) kerana lelaki itu menulis perkataan menyinggung perasaan pada borang imigresen digital dan bersikap biadab terhadap pegawai imigresennya.

The Straits Times melaporkan Anthony Joseph Laurence 'memasukkan butiran alamat palsu di Filipina, tidak memasukkan nama penuhnya dan memasukkan perkataan kesat', kata Pesuruhjaya Imigresen Norman Tansingco dalam satu kenyataan.

Tansingco tidak menyatakan apa perincian 'kata-kata kesat' yang ditulis Laurence pada borang itu, tetapi berkata warga AS berusia 34 tahun itu sudah melampaui batas.

Laurence pada masa kejadian untuk penerbangan ke Manila dari Bangkok.

Filipina menghapuskan borang perjalanan bercetak dan sebaliknya memerlukan pengembara mengisi kad e-perjalanan, sekurang-kurangnya 72 jam sebelum ketibaan dan berlepas dari negara itu.

Laurence juga menunjukkan 'penghinaan' terhadap seorang pegawai imigresen apabila dia diberitahu supaya mengisi borang perjalanan dalam talian sebelum dia dibenarkan masuk ke Filipina.

Dia melemparkan telefon dan pasportnya ke arah pegawai imigresen itu.

"Tingkah laku sedemikian bukan sahaja tidak menghormati tetapi juga menjejaskan kecekapan sistem," tambah Tansingco.

Laurence yang juga seorang pelabur hartanah mempertikaikan kerajaan Filipina berhubung perkara itu.

Dia memberitahu CNN Filipina bahawa dia berasa kecewa apabila dia tidak dapat mendapatkan aplikasi yang diperlukan untuknya memasukkan rekod perjalanannya ke tempat kerja walaupun mencuba tiga kali, dan dia turut mendakwa apabila dia meminta bantuan pegawai imigresen, permintaannya ditolak.

Dalam temu bual berasingan dengan Business Insider, dia mengakui memasukkan 'carutan' pada borang imigresen. Tetapi dia mendakwa meminta maaf untuk perbuatan itu.

"Saya memasukkan 'kata-kata kasar' ke dalam borang yang tidak ditujukan kepada sesiapa. Saya melakukan kesilapan kerana tidak mengisi borang dengan betul.

"Tetapi saya tidak percaya kesilapan ini menyebabkan seseorang itu diharamkan masuk secara kekal, disenaraihitamkan secara kekal," katanya.

Dia juga menafikan melemparkan pasport dan telefonnya kepada pegawai imigresen.

"Itu satu pembohongan. Saya membelek telefon saya supaya dia dapat melihat kod QR," katanya.

Laurence berkata, dia tinggal di Cebu, sebuah bandar kira-kira 550 kilometer (km) tenggara Manila di mana dia sudah dua tahun memiliki hartanah di situ.

Katanya, sudah enam atau tujuh kali, dia keluar masuk Filipina.

Kira-kira 44 pelancong dilarang memasuki Filipina setakat ini pada 2023, kerana pelbagai sebab, menurut Philippine Daily Inquirer.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 12:14 PM