PASUKAN BPJU (kiri, jersi biru) bergambar bersama GRFC sebelum perlawanan berula.
PASUKAN BPJU (kiri, jersi biru) bergambar bersama GRFC sebelum perlawanan berula.
Oleh Fauzi Rahim Mustafa

Sungai Petani: Selepas mengharungi 14 perlawanan, kemantapan GooRoo FC (GRFC) semakin terserlah apabila meraih kemenangan kesembilan dan kali ini menjadikan Bandar Puteri Jaya United (BPJU) sebagai mangsa terbaru.

Beraksi di padang SMK Pinang Tunggal, GRFC yang dipimpin ketua pasukan Norazli Mohd Mukhtar menang 4-1 ke atas BPJU.

GRFC mendahului BPJU 3-0 sebaik babak pertama berakhir dan sayap kanan, Asrul Nizam Abd Kodir memulakan jaringan GRFC sebelum Sharizan Mohamad meledak dua gol.

Bersambung babak kedua, penyerang BPJU yang juga kapten Iskandar Abu Samah berjaya merapatkan kedudukan tetapi sayap kiri GRFC Fauzi Rahim menjadikan kedudukan 4-1.

“Keserasian pemain GRFC semakin baik sekali gus membolehkan kami memperkemaskan posisi masing-masing.

“Kami bertahan dan menyerang sebagai satu unit. Saya fikir ia adalah kunci utama kejayaan kami,” kata Norazli.

Katanya, GRFC yang dibarisi guru sekolah menengah dan rendah sekitar Sungai Petani akan terus mengadakan perlawanan persahabatan dengan mana-mana pasukan yang berminat bertujuan mengekalkan tahap kecergasan semua pemainnya.

Menurutnya, dengan cara itu hubungan baik warga pendidik dengan komuniti setempat dapat dipertingkatkan.

Dalam perkembangan sama, Iskandar berkata, GRFC berhak menang ke atas pasukannya berdasarkan susunan formasi yang jauh lebih baik.

“Walaupun BPJU cuba menyaingi di segenap posisi ternyata GRFC lebih pantas merebut peluang sekali gus memenangi perlawanan.

“Kami akan memperkemaskan semula pasukan dan mungkin kami berpeluang mengatasi mereka dalam perlawanan ulangan selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 10:42 AM