PASUKAN LFC (jersi biru) bergambar kenangan bersama GFC sebelum perlawanan di padang SMK Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah.
PASUKAN LFC (jersi biru) bergambar kenangan bersama GFC sebelum perlawanan di padang SMK Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah.
Oleh Fauzi Rahim Mustafa


Sungai Petani: Pasukan bola sepak Lekirian FC (LFC) mengatasi skuad setahun jagung Guru FC (GFC) 3-0 pada perlawanan persahabatan di padang SMK Pinang Tunggal, baru-baru ini.

LFC yang diurus Mohd Fairuz Mohd Yunus mudah mendahului GFC 2-0 hingga tamat separuh masa pertama hasil dominasi posisi dan kemantapan pemainnya.

Bersambung babak kedua, LFC menambah satu lagi gol untuk mengatasi skuad lawan yang dipimpin Norazli Mohd Mukhtar dan keputusan itu kekal hingga wisel penamat.

Fairuz berkata, pasukannya yang ditubuhkan tiga tahun lalu sudah mempunyai persefahaman mantap dan setiap perlawanan persahabatan penting buat LFC.

“Bukan kemenangan disasarkan sebaliknya mahu mendidik pemain muda LFC agar tidak membuang masa dengan aktiviti tidak berfaedah.

“Penubuhan LFC ini diharap golongan muda akan memenuhi masa lapang dengan bersukan sekali gus mewujudkan kerjasama dan saling menghormati,” katanya.

Norazli yang juga guru SMK Bakar Arang berkata, GFC masih dalam pembikinan posisi setiap pemain termasuk merencana keseluruhan taktikal permainan yang akan dipraktikkan selepas ini.

“Kekalahan sudah dijangkakan namun kami masih puas hati kerana tidak dibolosi dengan jaringan lebih besar.

“Beri sedikit masa lagi dan kami akan membuktikan usaha berterusan bakal membenihkan kejayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 11:46 AM