PUTRAJAYA: Pemilik tunggal syarikat perdagangan yang juga individu ketiga ditahan reman berhubung siasatan akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sejak Jumaat lalu, dibebaskan dengan jaminan RM50,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahim mengeluarkan perintah bebas ke atas lelaki berusia 28 tahun itu dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu RM10,000 dalam bentuk tunai dan RM40,000 jaminan secara lisan oleh dua penjamin.

Lelaki itu ditahan reman empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 iaitu meminta atau menerima rasuah.

Difahamkan lelaki berkenaan ditahan di pejabat SPRM pada 10.45 malam Khamis lalu ketika tampil secara sukarela untuk memberikan keterangan.

Dia dipercayai mempunyai kaitan dengan penghantar surat berusia 27 tahun yang ditahan reman semalam.

Mahkamah Majistret Putrajaya telah mengeluarkan perintah reman terhadap lima individu bagi membantu siasatan berhubung kes 1MDB dengan tiga daripadanya dibebaskan dengan jaminan SPRM. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 11:10 AM