Mohd Husni Mohd Noor


PEGAWAI kanan polis berpangkat Deputi Superintendan yang ditahan reman berkaitan kegiatan mengutip wang rasuah daripada pengusaha pusat judi dan rumah urut di Melaka dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya dengan wang jaminan sebanyak RM50,000.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman melepaskan suspek lelaki berusia 49 tahun dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, itu ditahan SPRM di pejabatnya pada 22 Mei lalu.

Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret di Putrajaya pada 9 pagi diiringi pegawai SPRM.

Setakat ini, 13 individu ditahan SPRM termasuk sembilan pegawai dan anggota polis untuk siasatan kes terbabit.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2017 @ 10:58 AM
PEGAWAI kanan polis (kiri) dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas direman tujuh hari. FOTO Mohd Fadli Hamzah
PEGAWAI kanan polis (kiri) dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas direman tujuh hari. FOTO Mohd Fadli Hamzah