Oleh Ardini Sophia Sina


Kerjayanya sebagai pelakon baru saja bermula awal tahun lalu, namun rezeki­nya dalam bidang seni semakin menyinar. Walaupun samar-samar, ada pengarah dan produksi memberi kepercayaan kepadanya memegang watak utama. Itulah tuah Ardell Aryana, 25.

Dia sedar tidak semua pendatang baru berpeluang menjadi teraju utama filem tetapi dia terpilih dalam naskhah CCTV yang bakal ditayangkan di pawagam pada 30 Julai ini.

“Perjalanan saya membina nama sebagai pelakon bukan mudah. Apa pun, saya bersyukur diberi kepercayaan menerajui filem CCTV.

“Walaupun drama yang saya lakonkan tidak banyak seperti pelakon lain, saya berharap peluang ini membuka mata penonton pada bakat saya,” katanya.

Dengan merendah diri, Ardell akui dia bukanlah sesiapa dalam bidang lakonan. Apabila mengetahui akan berganding dengan Aeril Zafril dan Hasnol Rahmat, dia jadi takut dan gementar.

Katanya, mereka pelakon hebat dan dia baru merangkak tetapi Ardell bersyukur mereka sangat baik.

“Aeril dan Hasnol tidak memandang saya sebagai orang baru dalam industri. Mereka layan saya sama seperti pelakon lain. Mereka juga banyak berkongsi ilmu,” katanya.

Menurutnya, peluang membintangi filem itu diperoleh selepas menghadiri uji bakat.

Kata Ardell, apabila uji bakat terbuka selalunya pihak produksi akan mencari pelakon tambahan namun dia berjaya memegang watak utama.

Walaupun terkejut, dia gembira dengan peluang itu. Ardell bersyukur dengan rezekinya dan filem itu hadiah paling indah sempena Aidilfitri tahun ini.

“Saya harap filem ini menjadi pembuka jalan untuk beraksi di layar perak pula. Bukan saya mahu katakan lakonan drama sudah cukup kukuh hinggakan saya sudah bersedia beralih ke filem tetapi tidak salah memasang impian.

“Menerusi watak dalam Baby Ana Milik Siapa, saya melakonkan karakter remaja bermasalah dan terbabit dengan gejala sosial. Itulah yang menjadi titik permulaan pengarah dan produksi mula menaruh harapan.

“Karakter itu membantu mengembangkan kerjaya saya. Ia juga membuka mata penonton menerima saya ke dunia lakonan. Tidaklah terus terkenal seperti orang lain tetapi ada segelintir yang mengakui bakat saya,” katanya.

Sebelum filem itu ditayangkan, rantaian Wadi menghiasi slot Zehra menemui penonton pada Ramadan lalu. Dalam drama itu, Ardell berganding dengan Syafie Naswip, Fimie Don dan Harris Aliff. Walaupun berusia 25 tahun, pembawaan watak sebagai pelajar sekolah menengah sangat meyakinkan.

Selepas hari raya nanti, dia bakal memulakan penggambaran siri 80 episod. Bagaimanapun, setakat ini dia masih tidak mengetahui maklumat lanjut mengenai drama berkenaan. Dia hanya dimaklumkan tarikh penggambaran.

Pembabitan Ardell dalam bidang lakonan bermula dengan membantu rakannya berlakon dalam filem pendek ketika masih belajar di Kolej Cambridge.

“Kawan meminta saya berlakon dalam filem pendek arahannya dan saya tidak tahu pun dia akan hantar karya itu menyertai pertandingan Drama Fest kategori drama pendek. Itulah permulaan pengarah mula memanggil saya untuk uji bakat drama arahan mereka.

“Walaupun saya lulusan Diploma Pengurusan Perniagaan, saya tidak ralat memilih lakonan sebagai kerjaya. Mungkin inilah jalan hidup dan sumber rezeki yang sudah Allah tulis untuk saya,” katanya.

Sudah menjadi lumrah anak seni sering menjadi perhatian dan ada saja isu yang diperbesarkan. Bagi Ardell, setakat ini dia masih berjaya mengelak terkena tempias cerita kurang enak.

Sekiranya tidak ada penggambaran, dia lebih suka duduk di rumah. Jarang dia keluar dengan rakan-rakan. Apa pun, dia sudah bersedia berhadapan dengan dugaan itu dan menganggap ia asam garam sebagai pelakon.

“Sekiranya tidak ada kerja, saya akan duduk berehat di rumah. Sama seperti pelakon lain, saya juga tidak mahu dibabitkan dengan mana-mana kontroversi. Tetapi saya faham, ada kala kita tidak dapat mengelak.

“Saya sudah sedia dengan cabaran seperti itu dan harap apabila dilanda dengan masalah seperti itu, saya akan kuat dan mampu menanganinya dengan bijak. Saya ada ibu dan pengurusan yang akan membantu,” katanya.

Bernaung di bawah pengurusan Prokuya Studio milik Fadzil Zahari, kata Ardell, dia turut diajar menulis skrip dan juga menjadi pengarah. Selain berlakon, Ardell menimba ilmu sebagai orang di belakang tabir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:02 AM