TAK sangka langkahnya ke sesi uji bakat lakonan membuahkan hasil. FOTO Rohanis Shukri
TAK sangka langkahnya ke sesi uji bakat lakonan membuahkan hasil. FOTO Rohanis Shukri
Syafil Syazwan Jefri


NAMA bakat baharu dikenali sebagai Faeiz Shaffin mungkin masih asing buat peminat drama dan filem tempatan. Namun, siapa sangka daripada dunia pengacaraan dan pengiklanan, kini Faeiz, 28, mula berani mengorak langkah sebagai pelakon.

Muncul buat pertama kali di layar perak menerusi filem seram, Eidolon: Bayangan Dendam, pemuda ini berkongsi perjalanan seninya di samping ingin terus mendalami ilmu dalam dunia lakonan.

"Ini adalah filem pertama lakonan saya. Sebelum ini, saya banyak berlakon dalam iklan di media sosial, di samping menjadi pengacara untuk majlis dan acara korporat.

"Selain itu, saya juga mengendalikan program pengacaraan untuk jenama besar. Jadi, komitmen saya di situ adalah untuk mengadakan sesi siaran langsung bagi mempromosikan produk itu," katanya.

Menurut Faeiz yang juga bekerja sebagai penterjemah bebas, dia tidak pernah menyangka langkahnya ke sesi uji bakat lakonan membuahkan hasil.

"Pada awalnya, saya dihubungi oleh produksi dan saya pun hadir untuk sesi uji bakat, sama seperti pelakon lain. Saya pergi dengan niat untuk belajar memandangkan saya kurang pengalaman.

"Jadi, bila dah cuba, tak sangka pula saya lulus. Seperti yang dikatakan, saya sudah berikan yang terbaik, namun saya rasa mungkin sebenarnya saya boleh buat lebih baik lagi pada uji bakat lakonan itu," katanya.

Dalam filem Eidolon: Bayangan Dendam, Faeiz memegang watak sebagai Faiz, individu yang menghidap kecelaruan obsesif kompulsif (OCD).

"Ia adalah cabaran besar buat saya apabila ditawarkan untuk membawa watak individu yang menghidap OCD. Selain itu, cabaran lain adalah dari sudut komunikasi dan masa, memandangkan kami menjalani penggambaran filem ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya pun tak pernah ada pengalaman berlakon dan menjalani penggambaran sehingga pagi. Jadi, banyak yang perlu saya belajar serta betulkan," katanya.

Ditanya mengenai rujukan dan kaedah mendalami watak yang digunakannya, Faeiz ada cara yang tersendiri.

"Kalau rujukan, saya suka menonton filem Saw. Itu sedikit sebanyak membantu saya menjiwai jalan cerita dalam filem ini.

"Pengarah pun ada berikan saranan serta tunjuk ajar dan saya sudah berikan yang terbaik untuk menjayakan watak Faiz ini.

"Saya suka menonton filem tidak kira sama ada di Netflix, mahupun di pawagam. Untuk mendalami watak Faiz itu, saya gunakan satu kaedah di mana saya kurangkan interaksi dengan orang luar dan banyakkan pergaulan dengan kru penggambaran," katanya.

Selain Faeiz, filem Eidolon: Bayangan Dendam yang mula ditayangkan di pawagam pada 9 Mac lalu membariskan muka baharu dalam dunia lakonan seperti Chazynash, Tyty Nazmin,

Julian Cheah, Fifi, Che My dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 6:20 AM