Oleh Ismail Muhamad

Kota Bharu: “Saya anggap ia hanya khabar angin kerana tidak ada arahan untuk Azman Ibrahim meletak jawatan sebagai pengurus pasukan The Red Warriors (TRW),” kata Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Datuk Rosmadi Ismail, semalam.

Beliau kecewa kerana ketika tumpuan TRW untuk keluar daripada zon bahaya wujud pula khabar angin berkenaan sedangkan pengurusan KAFA tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

Malah katanya, perkara terbabit tidak pernah diusulkan secara rasmi menerusi mesyuarat yang diadakan oleh KAFA sebelum ini.

“Saya harap tidak ada gangguan kepada pengurusan dan pemain TRW yang kini sedang memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super selepas aksi yoyo musim ini.

“Saya pun tidak tahu maklumat ini datang dari mana kerana dalam mesyuarat pun (isu ini) tidak ada. Mungkin perkara ini khabar angin sebab tiada keputusan secara rasmi bagi mengarahkan Azman untuk letak jawatan,” katanya pada sidang media di pejabat Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK) di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan Kelab Penyokong TRW Kota Bharu (TRWKB) mahu pengurusan KAFA meneliti secara terperinci mengenai desakan pihak tertentu supaya Azman meletak jawatan sebagai pengurus pasukan TRW.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:01 AM